Oleh Jaafar Neemat
bhnews@bharian.com.my
2011/02/01
ALOR GAJAH: Persiapan sambutan Tahun Baru Cina bagi 42 penduduk masyarakat Tionghua di Asahan, dekat Jasin, musnah apabila kediaman mereka ditenggelami banjir akibat hujan berterusan sejak kelmarin.
Mereka yang menetap Kampung Baru Gunung Emas dan Pekan Asahan itu terpaksa berpindah selepas kediaman masing-masing dinaiki air sedalam dua meter sejak awal tengah hari kelmarin, sebelum bertambah serius pada jam 5 petang.Mereka kini ditempatkan di pusat penempatan sementara banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan, bersama dengan 264 lagi mangsa bencana itu dari sekurang-kurangnya lima kampung di sekitar Asahan.
Seorang mangsa, Lim Ah Bah, 70, berkata beliau sekeluarga terpaksa melupakan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini kerana perlu menyelamatkan diri dari banjir yang terbesar pernah melanda kawasan itu sejak 40 tahun lalu.
Katanya, segala persiapan untuk menyambut perayaan berkenaan sudah lengkap dan beliau bersama enam lagi ahli keluarganya hanya menunggu tarikh 3 dan 4 Februari ini untuk berkumpul bersama sanak saudara.
"Sedih itu memang sedihlah. Tapi apa nak buat, sebab kami tidak sempat berbuat apa-apa kerana air naik terlalu cepat. Habis semua barangan elektrik, kuih muih, langsir dan barangan makanan yang kami sediakan untuk sambutan tahun baru rosak.
"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat. Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang datang membantu tepat pada masanya," katanya sambil mengakui akan menyambut sambutan berkenaan secara ala kadar sekiranya masih ditempatkan di situ.
Sehingga tengah hari semalam, bilangan keseluruhan mangsa yang banjir yang ditempatkan di SK Asahan adalah seramai 306, termasuk 142 keturunan Melayu dan bakinya, masyarakat India. Jika banjir masih tidak surut, kemungkinan semua mangsa akan terus ditempatkan di situ.
Selain Kampung Baru Gunung Emas, mangsa banjir lain yang ditempatkan di SK Asahan adalah dari Kampung Asahan, Kampung Relau, Sungai Dua dan Ladang Asahan. Tinjauan mendapati bantuan termasuk makanan dan pakaian sudah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Asahan, Abdul Ghani Abdullah berkata, sebanyak dua pemindahan terpaksa dilakukan membabitkan penduduk di semua kampung terbabit apabila air mendadak sehingga setinggi hampir dua meter.
Katanya, proses pemindahan pada jam 3 dan 5 petang itu terpaksa dilakukan segera dan secara berperingkat bagi memastikan tidak ada penduduk yang menjadi mangsa berikutan hujan tidak pernah berhenti sejak pagi kelmarin.
"Memang benar ini, adalah banjir terbesar pernah berlaku di sini. Bagaimanapun, kita sudah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan semua penduduk dipindahkan ke tempat selamat," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Abdul Rahim Jaafar, 42, dari Kampung Asahan, berkata air naik begitu cepat sehingga mereka sekeluarga tidak sempat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan harta benda.
"Banyak perabot kami rosak tapi mujur juga semua buku anak-anak dapat diletakkan di tempat tinggi. Kami sekeluarga berjaya diselamatkan oleh sepasukan penyelamat pada kira-kira jam 3 petang, sebelum dibawa ke sini (SK Asahan)," katanya.
Jayakumar Nayaranan, 28, dari Kampung Relau pula berkata, beliau bersama tiga ahli keluarganya tidak sempat berbuat apa-apa, apabila kediaman mereka dinaiki air dalam sekelip mata kira-kira jam 3 petang kelmarin.
"Saya dan sekeluarga berasa bersyukur kerana sempat dipindahkan ke sini. Kami harap banjir akan surut segera," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara di SK Asahan awal pagi semalam.
No comments:
Post a Comment