Oleh Johary Indan
bhnews@bharian.com.my
2011/02/01
PENDUDUK Jalan Kampung Bunga, Tenghilan meninjau laluan runtuh yang belum dibaiki.
TAMPARULI: Seminggu sudah berlalu, namun belum ada tindakan diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaiki jalan Kampung Bunga dan Kampung Lapai, Tenghilan di sini, yang runtuh disebabkan hujan lebat minggu lalu.
Kejadian itu mengakibatkan lebih 100 penduduk dari dua kampung terbabit terpaksa berjalan kira-kira tiga kilometer ke jalan besar untuk ke pekan ini kerana tidak boleh dilalui kenderaan.Seorang penduduk, Albert Johnny, 39, berkata penduduk terpaksa meredah kawasan berselut, licin dan berbahaya setiap hari kerana tiada pilihan lain.
"Langkah penduduk membina jalan sementara itu sedikit sebanyak mengurangkan masalah mereka untuk keluar masuk kampung setiap hari.
"Bagaimanapun, mereka berharap kerosakan jalan itu segera dibaiki JKR demi kemudahan semua pihak," katanya yang membawa wakil Berita Harian meninjau keadaan jalan berkenaan, semalam.
Difahamkan, jalan itu runtuh berikutan saluran air yang dibina tidak berupaya menampung jumlah air berlebihan ketika hujan lebat.
Kampung Bunga dan Kampung Lapai yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan lebih 12 jam seminggu lalu.
Kejadian itu turut menyebabkan lebih 20 rumah penduduk dan kira-kira 200 hektar sawah di dua kampung itu yang sedang dituai petani musnah.
Selain jalan runtuh, beberapa kerosakan lain turut berlaku di kampung itu seperti hakisan tebing sungai dan jambatan dihanyutkan arus deras.
Sehubungan itu, Albert berharap JKR dapat menyegerakan pembaikan kemudahan itu berikutan kepentingannya kepada masyarakat setempat.
Pemaju Mukim Tamparuli, Ah Hill Atub, berkata Jahid yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, sudah meminta JKR membaiki segera kemudahan itu.
No comments:
Post a Comment