Thursday, September 15, 2011

Guru AS tak bantu kuasai BI



Oleh Mohd Feroz Abu Bakar, Mohd Roji Kawi dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my
2011/09/15

NGO bimbang pengajar dari Amerika Syarikat bawa budaya Barat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan menyarankan Kementerian Pelajaran mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) lebih menarik bagi membolehkan murid memperoleh asas linguistik kukuh pada peringkat rendah.
Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB), meminta penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan memanfaatkan makmal komputer supaya subjek berkenaan lebih menyeronokkan.
Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami. - Hashim Adnan, Presiden NUTP
Presidennya, Mohd Sabri Arsad, berkata langkah membawa masuk guru dari Amerika Syarikat (AS) bukan tindakan bijak kerana guru asing dikhuatiri membawa masuk budaya Barat yang bercanggah dengan cita rasa tempatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, maklum balas daripada guru dan pelajar di Terengganu yang mempunyai English Teaching Assistant (ETA) menunjukkan kehadiran ETA dari AS tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan BI pelajar.

“Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami, ” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin berkata BI akan dijadikan syarat wajib lulus. Syarat itu bagi melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penuh selepas gurunya mencukupi dan pengenalan kurikulum baru. 
Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula meminta pelaksanaan syarat wajib lulus dalam SPM itu dilakukan secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa sehingga membebankan pelbagai pihak.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata cadangan mengambil tenaga pengajar luar negara bukan penyelesaian terbaik.

Kementerian, katanya perlu melatih lebih ramai guru tempatan dan mengoptimumkan kemahiran mereka untuk dimanfaatkan bersama.

Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula silibus mata pelajaran BI di sekolah menengah bagi meningkatkan minat pelajar untuk menguasai mata pelajaran itu.

Yang Dipertuanya, Ahmad Malie, berkata ketika ini pelajar terpaksa mempelajari komponen sastera sebagai elemen tambahan dalam silibus pembelajaran BI. 

No comments:

Post a Comment