Thursday, September 12, 2013

Pemisah MNLF jadikan penduduk sebagai perisai


SEKUMPULAN penduduk kampung yang dipercayai dijadikan tebusan oleh kumpulan pemisah MNLF mengibarkan kain putih sebagai tanda merayu anggota tentera agar tidak menembak mereka di Zamboanga, Filipina semalam.


ZAMBOANGA - Kumpulan pemisah Islam semalam menjadikan sejumlah penduduk di sini sebagai tebusan yang membentuk perisai manusia ketika pertempuran dengan pasukan keselamatan di selatan Filipina memasuki hari ketiga.
Ada di antara kalangan berpuluh-puluh tebusan terbabit mengibarkan bendera putih dan merayu supaya mereka tidak ditembak oleh tentera.
Rayuan itu dibuat selepas penembak tepat yang disyaki anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) melepaskan tembakan dari penempatan tersebut ke arah pasukan keselamatan yang berada sekitar 500 meter di daerah Santa Barbara di sini.
Di bahagian lain di Zamboanga, tiga anggota MNLF ditahan selepas berbalas tembakan dengan pihak polis yang menyekat kemaraan puak pemisah daripada mencero- boh daerah-daerah lain di sini.
"Tentera kami hanya membalas tembakan. Kami tidak melancarkan serangan. Misi kami adalah untuk mengepung mereka, bukan menyelamatkan tebusan," kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 24 yang lain cedera selepas kira- kira 300 anggota MNLF bertempur dengan tentera Filipina sejak Isnin lalu.
Kumpulan lelaki bersenjata yang merupakan pengikut pengasas MNLF, Nur Misuari dikatakan mahu menggagalkan rundingan damai di antara Manila dengan puak pemisah di selatan negara itu.
Pertempuran tersebut menyebabkan bandar pelabuhan yang mempunyai hampir sejuta penduduk itu lumpuh dan lebih 170 orang awam dipercayai terperangkap di lokasi persembunyian kumpulan pemisah.
Sejumlah sekolah, premis perniagaan dan bangunan kerajaan ditutup sejak tiga hari lalu. Perkhidmatan penerbangan dan feri turut tergendala.
Dalam perkembangan berkaitan, sekitar 13,000 orang di lima daerah di Zamboanga meninggalkan rumah masing-masing untuk mencari lokasi selamat di pusat bandar ini.
Zamboanga merupakan pusat komersial, pendidikan selain menempatkan kompleks ke- rajaan utama di selatan Filipina.
Datuk Bandar Zamboanga, Maria Isabelle Climaco merayu kumpulan pemisah membebaskan tebusan dan membincangkan rasa tidak puas hati mereka dengan Manila.
Climaco juga mencadangkan campur tangan pihak ketiga dalam pergolakan terbaharu itu.
"Ini bukan lagi masalah dalam negara. Ini merupakan masalah antarabangsa," katanya dalam satu wawancara televisyen. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0912&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ecvvecs2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment