Thursday, September 12, 2013

Buku dedah 7 gadis Rapunzel 'pukau' dunia


Tujuh adik-beradik perempuan terdiri daripada Sarah, Victoria, Isabella, Grace, Naomi, Mary dan Dora yang memiliki rambut panjang sehingga buku lali, bergambar bersama bapa mereka, Fletcher Sutherland. - Agensi
NEW YORK 11 Sept. - Tujuh adik-beradik perempuan pada abad ke-19, berjaya memukau rakyat Amerika Syarikat (AS) ketika itu, bukan dengan berpakaian seksi tetapi hanya dengan gaya rambut panjang mereka yang kelihatan seperti kisah dongeng, Rapunzel.
Penulis buku keluarga itu, Brandon Stickney mendedahkan bagaimana adik-beradik itu muncul sebagai 'selebriti paling seksi' di AS serta kejayaan tonik rambut 'ajaib' jenama mereka yang mencecah jualan sehingga AS$3 juta (RM9.8 juta) pada ketika itu.
Menurut Stickney, adik-beradik perempuan Sutherland terdiri daripada Sarah, Victoria, Isabella, Grace, Naomi, Mary dan Dora, masing-masing mempunyai rambut panjang sehingga ke buku lali dengan ukuran panjang kira-kira 11.2 meter.
Kesemua gadis itu bersama adik lelaki tunggal mereka, Charles dilahirkan antara 1851 dan 1865 di komuniti perladangan di pedalaman Cambria, New York.
Dalam usaha keluarga itu keluar daripada belenggu kemiskinan, bapa mereka, Fletcher Sutherland mendesak adik-beradik tersebut menceburi bidang persembahan bagi menyerlahkan bakat nyanyian masing-masing.
Bagaimanapun, selepas mereka menyertai sebuah syarikat sarkas, Barnum & Bailey, Sutherland menyedari orang ramai sebenarnya lebih tertarik dengan rambut panjang mereka berbanding suara mereka, sehinggalah mereka digelar sebagai 'tujuh perkara paling menyenangkan hati di dunia'.
Terdapat khabar angin menyatakan bahawa ibu kepada adik-beradik perempuan Sutherland, Mary yang meninggal dunia pada 1867 menggunakan salap 'berbau kuat' pada rambut anak-anaknya bagi menggalakkan pertumbuhan rambut anak-anak gadisnya itu ketika mereka membesar.
Dalam usaha untuk mengambil kesempatan ke atas minat orang ramai terhadap anak-anak gadisnya, Sutherland mendapat idea untuk menjual tonik rambut yang menggunakan nama keluarga itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130912/lu_07/Buku-dedah-7-gadis-Rapunzel-pukau-dunia#ixzz2efBCqBwB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment