Monday, December 30, 2013

Kemelut politik Thai ragut 8 nyawa


Bangkok: Lapan orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera sejak dua bulan lalu berikutan ketegangan politik yang kian memuncak hingga mendorong kepada pertempuran dengan polis Khamis lalu dan insiden tembakan kelmarin.

Seorang penunjuk perasaan antikerajaan maut dan tiga lagi cedera parah selepas ditembak lelaki tidak dikenali berhampiran kompleks kerajaan awal pagi kelmarin, kata petugas kecemasan. Empat lelaki berkenaan ditembak kira-kira jam 3 pagi dekat pintu pagar keempat kompleks kerajaan, menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok untuk Pusat Khidmat Perubatan Kecemasan Erawan.


Seorang lelaki turut ditembak ketika memandu berhampiran kompleks kerajaan kira-kira sejam kemudian, kata polis.



Penunjuk perasaan Yottana Aongart dari Chumpon ditembak di rusuk. Peluru dari rusuk kanan menembusi rusuk kirinya. Dia dimasukkan ke Hospital Klang tetapi meninggal tidak lama kemudian.


Yottana, 26, ialah mangsa kelapan yang maut dalam demonstrasi antikerajaan. Lima maut di Universiti Ramkhamhaeng pada awal bulan, manakala dua lagi terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis di Stadium Thai-Jepun di Din Daeng Khamis lalu. Lebih 300 cedera dengan sebahagiannya dalam keadaan parah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment