Monday, December 30, 2013

Musharraf kecam tuduhan pengkhianatan

Musharraf  kecam tuduhan pengkhianatan
Islamabad: Bekas pemerintah tentera Pakistan, Pervez Musharraf (gambar), semalam mengecam tuduhan pengkhianatan ke atasnya dan menyifatkan ia sebagai balas dendam sambil berkata beliau memiliki sokongan tentera di dalam kes itu.

Bekas pemimpin berusia 70 tahun itu berkata keseluruhan tentera kecewa dengan dakwaan pengkhianatan, dalam ulasan pertamanya kepada media antarabangsa sejak dikenakan tahanan rumah April lalu.

Tuduhan pengkhianatan itu adalah dakwaan terbaru dan paling serius dalam kes jenayah dikaitkan dengan pemerintahan sembilan tahun Musharraf yang pernah dihadapinya sejak kembali ke Pakistan Mac lalu.


Cetus pertelagahan

Kes berkenaan mungkin mencetuskan pertelagahan antara kerajaan dengan tentera, selain mengancam kestabilan ketika negara bersenjata nuklear itu bergelut dengan pemberontakan Taliban, krisis tenaga kronik dan ekonomi pegun.

Tentera yang memerintah Pakistan selama lebih separuh daripada sejarah 66 tahun negara itu tidak membuat sebarang ulasan awam langsung dalam kes itu, namun dianggap tidak bersetuju jika bekas ketuanya dimalukan dalam perbicaraan mahkamah awam.

“Saya mengatakan keseluruhan tentera kecewa. Saya mengetuai tentera dari hadapan,” kata Musharraf kepada media di rumah ladangnya di pinggir bandar ini.
“Saya tidak ragu-ragu dengan maklum balas yang saya terima bahawa keseluruhan tentera bersama saya sepenuhnya dalam isu ini.”

Tuduhan pengkhianatan dikaitkan dengan pemerintahan darurat Musharraf pada November 2007 dan jika didapati bersalah dia mungkin berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. - AFP

No comments:

Post a Comment