Thursday, September 26, 2013

Pepijat NSA intip India, PBB


2013/09/26
New Delhi: Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA) menyasarkan kedutaan India di Washington dan pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) India di New York dengan peralatan pengintipan canggih yang mungkin menyebabkan cakera keras disalin, kata satu laporan semalam.

Akhbar The Hindu yang bekerjasama dengan wartawan akhbar The Guardian, Glenn Greenwald, berkata pejabat India berada dalam senarai teratas negara yang dipilih untuk pengintipan intensif.
NSA “memilih pejabat PBB India dan kedutaan sebagai ‘lokasi sasaran’ untuk menyusup ke dalam sistem komputer dan telefon mereka dengan pepijat berteknologi tinggi,” kata akhbar itu, memetik satu dokumen rahsia dari agensi perisikan berkenaan.

Teknik Lifesaver

Ia berkata misi India itu ditandakan untuk pelbagai teknik pengintipan termasuk satu dengan nama kod Lifesaver yang membabitkan pengimejan cakera keras komputer.

India dan Amerika melupakan kesukaran masa lalu mereka dan menjadi sekutu kuat sejak dekad lalu dengan Perdana Menteri Manmohan Singh dijangka bertemu Presiden Barack Obama di Washington Jumaat ini.

Pendedahan berhubung aktiviti pengintipan Amerika itu, dibocorkan menerusi dokumen diperoleh bekas kontraktor NSA, Edward Snowden, sudah menegangkan hubungan antara Obama dan sekutu luarnya, terutama Presiden Brazil, Dilma Rousseff.
Laporan The Hindu itu memberi banyak perincian berhubung pendedahan sebelumnya diterbitkan dalam Guardian oleh Greenwald pada Julai lalu bahawa 38 kedutaan dan misi diplomatik menjadi sasaran NSA, termasuk India.

New Delhi sebelum ini mempertahankan pengintipan meluas ke atas pengguna internet dan panggilan telefon oleh agensi perisikan Amerika, mengatakan pengawasan seperti itu membantu mencegah “serangan pengganas.”

AFP 

No comments:

Post a Comment