Wednesday, February 5, 2014

20 staf anak syarikat PKNS diberhentikan

20 staf anak syarikat PKNS diberhentikan
Seorang daripada 20 kakitangan PKNS Holdings yang ditamatkan kontrak menunjukkan Notis Pemberhentian yang diterima di Seksyen 13, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
 Tindakan disyaki ada kaitan usaha singkir kroni bekas Pengurus Besar

Shah Alam: Seramai 20 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) ditamatkan perkhidmatan serta-merta semalam.

Isu terbaru itu berlaku tidak sampai sebulan selepas pengguguran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohammed Azmin Ali, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kesemua kakitangan terbabit menerima surat penamatan kontrak perkhidmatan itu selepas menghadiri perjumpaan dengan pihak pengurusan PHSB, kira-kira jam 10 pagi walaupun sebahagian daripada mereka mempunyai kontrak hampir setahun lagi.

Difahamkan, idea penubuhan PHSB dibuat oleh Datuk Othman Omar dan pemecatan mereka ada kaitan untuk ‘menyingkirkan’ kroni bekas Pengurus Besar PKNS itu.

Bekas Pengurus Kanan Pemasaran PHSB, Dr Aliff Aiman Abdullah, 55, berkata surat penamatan kontrak itu ditandatangani oleh Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Hilang pendapatan
“Surat yang kami terima menyebut penamatan ini ialah bagi penstrukturan semula organisasi dan sumber manusia, termasuk anggota yang dipinjam daripada PKNS Holdings.

“Sehubungan itu, PKNS membuat keputusan untuk tamatkan kontrak perkhidmatan serta-merta. PKNS juga akan membayar dua bulan gaji menggantikan notis, baki cuti tahunan secara prorata, setelah mengambil kira apa juga tuntutan bayaran yang masih belum dijelaskan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Aliff berkata, dia dimaklumkan oleh Pengerusi PHSB bahawa arahan itu dibuat oleh Pemangku Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Datin Paduka (Norazlina) memaklumkan arahan ini daripada pemangku pengurus besar dan Menteri Besar. Jadi, dia perlu akur dengan arahan ini.

“Akibat tindakan ini, kami hilang punca pendapatan. Cuba bayangkan bagaimana kami nak tanggung kehidupan keluarga kami, persekolahan anak-anak dan komitmen yang perlu dibayar setiap bulan selepas ini,” katanya.

Bagi Wan Firdaus Md Isa, 27, dia kesal dengan tindakan pengurusan PHSB itu, kerana kontraknya masih berbaki kira-kira setahun.

Khalid nafi campur tangan

“Sepatutnya pengurusan PHSB bagi notis sekurang-kurangnya sebulan sebelum atau selewat-lewatnya seminggu, jadi baru kami boleh buat persediaan,” katanya.

Sementara itu, usaha BH untuk mendapatkan komen Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, gagal.

No comments:

Post a Comment