Wednesday, February 5, 2014

AS tentang rampasan kuasa


Sekumpulan tentera Thailand berkawal di hadapan pejabat sementara kerajaan di Bangunan Kementerian Pertahanan di pinggir Bangkok, semalam. - AFP
WASHINGTON 4 Feb. - Amerika Syarikat (AS) menentang sebarang tindakan tentera untuk melancarkan rampasan kuasa di Thailand, ekoran konflik politik di negara itu yang semakin meruncing, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki.
Beliau berkata, Washington turut bimbang dengan ketegangan politik di Bangkok yang menjadi cabaran terhadap demokrasi di negara itu selepas pilihan raya hujung minggu lalu terganggu akibat bantahan antikerajaan.
“AS tidak mahu melihat rampasan kuasa atau keganasan berlaku di Thailand.
“Kami meminta semua pihak di negara itu memahami kepentingan demokrasi dan Perlembagaan bagi menyelesaikan perbezaaan pegangan politik mereka," katanya.
Menurut Psaki, walaupun proses pilihan raya di kebanyakan kawasan berjalan secara aman dan lancar, namun masih ada keganasan yang tercetus, selain tindakan penunjuk perasaan antikerajaan menghalang pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata, Washington bimbang dengan situasi politik di Thailand yang menunjukkan penentangan terhadap Perlembagaan dan demokrasi.
“Kami tidak memihak kepada sesiapa dalam konflik di Thailand, tetapi kami meminta semua pihak yang terlibat agar mengadakan perbincangan secara telus bagi menyelesaikan perbezaaan politik mereka secara aman dan demokrasi," katanya.
Sementara itu, Parti Pheu Thai yang memerintah kerajaan, dijangka memenangi sekurang-kurangnya 300 kerusi Parlimen, walaupun calon yang diletakkan mendapat jumlah undian yang rendah berbanding pilihan raya sebelum ini.
Sumber parti tersebut berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi pada mesyuarat yang dihadiri pengarah pilihan raya pusat, Sompong Amornvivat, Parti Pheu Thai mungkin memenangi 240 kerusi Parlimen dan kira-kira 60 lagi kerusi di kubu kuat parti itu.
Keputusan undian, setakat ini menunjukkan ramai pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi, menyebabkan calon parti tersebut hanya memperolehi 20,000 undi di kerusi Parlimen berbanding 40,000 undi pada pilihan raya sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Biro Polis Kebangsaan akan memburu penunjuk perasaan yang mengganggu proses pilihan raya pada Ahad lalu dan pegawai pilihan raya yang meninggalkan pusat pengundian.
Ketua Jabatan Siasatan Khas, Tarit Pengdith berkata, Pusat Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) telah mengeluarkan arahan kepada polis untuk mengumpul bukti bagi mendakwa individu yang terlibat.
Tarit turut meminta orang ramai memberi kerjasama kepada pihak polis, jika mereka mempunyai bukti menunjukkan penglibatan penunjuk perasaan dalam perbuatan jenayah itu. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140205/lu_01/AS-tentang-rampasan-kuasa#ixzz2sOPgbFdD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment