KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memfailkan permohonan mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadapnya berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin.
Permohonan itu difailkan melalui peguamnya, Asmuni Awi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.20 pagi ini.
Menurut peguam tersebut, pihaknya akan menghantar salinan permohonan itu kepada peguam A. Vasudevan yang mewakili Mohd. Shamsul selaku plaintif dalam masa terdekat.
"Kalau ada sebarang hujah yang ingin dimasukkan plaintif, mereka boleh failkan dan kalau ada keperluan di peringkat kami untuk menjawab dokumen dan afidavit tersebut, ia akan dibuat sebelum tarikh perbicaraan pada 30 Mac nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Asmuni berkata, pihaknya hanya mengetahui tentang perintah penghakiman ingkar itu pada Ahad lalu walaupun hakikatnya ia telah difailkan plaintif pada 17 Februari.
"Pihak plaintif tidak memaklumkan dan berkomunikasi dengan kami dan saya hanya mengetahui secara kebetulan berhubung perintah penghakiman ingkar itu," katanya.
Ahad lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd. Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan oleh pihak plaintif.
Abdul Hadi juga diperintah membayar faedah lima peratus daripada jumlah ganti rugi tersebut mulai dari tarikh tuntutan itu difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos RM1,500 setelah gagal memfailkan pembelaan terhadap saman tersebut.
Tindakan saman itu dikemukakan oleh Mohd. Shamsul selepas Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu sebagai alasan untuk Pas turut meletakkan calonnya bertanding walaupun melibatkan pertandingan tiga penjuru.
Mohd. Shamsul yang berdepan dengan calon Pas dan Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 52 undi dalam pilihan raya itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April tahun lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.
Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_05/Hadi-mohon-ketepi-perintah-bayar-RM2-juta#ixzz2uZBzdu7q
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment