Tuesday, March 4, 2014

Rakyat Thai mahu rundingan


Penunjuk perasaan antikerajaan beredar dari tengah ibu kota Bangkok dan berkumpul semula di tengah Taman Lumpini di Bangkok, kelmarin. Thailand mengadakan semula pilihan raya bagi lima wilayah, kelmarin setelah proses pengundian di lima wilayah itu pada 2 Februari lalu diganggu penunjuk perasaan bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. - REUTERS
BANGKOK 3 Mac - Majoriti rakyat Thailand mahu pemimpin bantahan antikerajaan, Suthep Thaugsuban dan Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra mengadakan rundingan secara terbuka bagi mengakhiri krisis politik negara ini, lapor satu tinjauan hari ini.
Keputusan tinjauan tersebut yang dijalankan oleh Suan Dusit disiarkan ketika kumpulan penunjuk perasaan mula berundur dari kawasan tengah Bangkok yang sebelum ini menjadi lokasi tumpuan dan penyebab kesesakan trafik.
Sebanyak 71 peratus responden bersetuju bahawa Yingluck dan Suthep perlu mengadakan perbincangan yang disiarkan melalui siaran langsung bagi menamatkan konflik politik Thailand.
Namun, hanya enam peratus sahaja tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana dikhuatiri akan merumitkan lagi krisis politik negara ini.
Dalam pada itu, penduduk Bangkok berasa lega untuk ke tempat kerja selepas beberapa jalan utama tidak lagi dikuasai kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan.
Bagaimanapun kumpulan yang diketuai Suthep itu mula tertumpu di kawasan mahkamah bagi memberi tekanan kepada Jabatan Kehakiman untuk menggesa Yingluck berundur.
Penganalisis politik dari Universiti Chulalongkorn, Siripan Nogsuan Sawasdee berkata, Suthep menukar strategi untuk menggulingkan Yingluck melalui mahkamah dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Beliau (Suthep) sedar nasib kerajaan tidak bergantung kepada demonstrasi jalanan yang diusahakan oleh penyokongnya,
sebaliknya masa depan Yingluck bergantung kepada Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140304/lu_04/Rakyat-Thai-mahu-rundingan#ixzz2uwBRwUeD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment