Tuesday, March 4, 2014

Tentera Rusia atur kedudukan


Sebahagian kenderaan perisai dipercayai milik tentera Rusia, dilihat berada di dalam kawasan unit tentera Ukraine di Kampung Perevalnoye, di luar Simferopol, Crimea, semalam. - REUTERS
KIEV 3 Mac - Tentera Rusia mula mengatur kedudukan kenderaan berperisai di kawasan sempadan wilayah autonomi Crimea, sekali gus memberi bayangan perang antara Ukraine dan Moscow boleh tercetus pada bila-bila masa.
Seorang pengawal sempadan Ukraine yang enggan dikenali berkata, kapal-kapal tentera laut Rusia juga telah tiba di perairan Sevastopol yang merupakan bandar pelabuhan utama Crimea.
Bandar tersebut juga adalah merupakan pangkalan utama Armada Tentera Laut Rusia di Laut Hitam.
Menurut pengawal tersebut, tentera Rusia menyekat perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, pengawal itu tidak pasti jumlah kenderaan tentera Rusia yang dikerah ke sempadan tersebut yang terletak di sepanjang 4.5 kilometer di Selat Kerch.
Semalam, kerajaan sementara Ukraine mengarahkan semua anggota tentera simpanannya diaktifkan bagi menghadapi konfrontasi dengan Rusia.
Dalam perkembangan lain, berpuluh-puluh orang dilaporkan cedera dalam keganasan yang tercetus di bandar Kharkiv, timur Ukraine apabila aktivis pro-Rusia bertindak menyerbu ibu pejabat kerajaan wilayah itu, kelmarin.
Keganasan terbaharu itu membayangkan kerajaan sementara Ukraine berdepan masalah untuk mengukuhkan cengkaman di bandar utama yang dikuasai penduduk pro-Rusia selepas wilayah autonomi Crimea ketika ini dikuasai oleh kumpulan lelaki bersenjata yang berpihak kepada Moscow.
Bandar Kharkiv terletak kira-kira 658 kilometer di utara wilayah Crimea yang menjadi tumpuan dunia ekoran konfrontasi antara Rusia dan Ukraine.
Beribu-ribu penduduk mengadakan bantahan terhadap kerajaan pimpinan Presiden sementara, Oleksandr Turchynov di beberapa bandar utama termasuk di Donetsk, bandar kelahiran bekas Presiden Viktor Yanukovych, yang digulingkan pada minggu lalu.
Mereka mendesak pengunduran kerajaan sementara Ukraine dan menggesa penyatuan dengan Rusia.
Sementara itu, Ketua Tentera Laut Ukraine, Laksamana Muda Denis Berezovsky belot apabila menyatakan pendirian untuk berpihak kepada kerajaan Crimea yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Sergey Aksenov.
Tindakannya itu bakal meningkatkan lagi ketegangan antara Rusia dan Ukraine yang masing-masing mahu mempertahankan Crimea, terutamanya Moscow kerana wilayah tersebut merupakan pangkalan utama tentera lautnya yang ditempatkan di Laut Hitam. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140304/lu_03/Tentera-Rusia-atur-kedudukan#ixzz2uwBDokqY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment