TAN SRI ABDULLAH AHMAD
26 Julai 2014
ZAHID, Shafie, Hishammuddin, Khairy, Mukhriz, Anwar, Hadi, Lim Kit Siang dan Ku Li. Satu daripada dua tiga nama di atas besar kemungkinan jadi perdana menteri, paling kurang timbalan perdana menteri, “all being well ,of course”, tegas Speaking. Yang lain berangan sahaja. Apa pun jangan cepat putus harapan, selagi bernafas ada harapan! Keghairahan sesetengah amat sukar dimengerti. Beyond belief, really. Tetapi ada kemungkinan juga “a dark horse” akan menjelma, yakni calon di luar dugaan.
Kewajipan paling berat seorang presiden dan (perdana menteri) mesti pikul, madah Presiden Lyndon Johnson, “is not to do what is right, but to know what is right” - bukan melakukan apa yang baik dan betul tetapi mengetahui sesuatu itu wajar dan saksama dalam tindakannya. Berdasarkan rekod dan pengalaman dan tanggapan rakyat, siapa antara mereka yang nama saya sebutkan tadi layak menggantikan Najib Tun Razak apabila masanya tiba?
Saya tidak senaraikan Muhyiddin Yassin kerana dia sendiri telah berkata berkali-kali - jika kita percaya cakapnya - dia tidak minat jadi PM bahkan berura-ura berhenti sebagai Timbalan PM. Kalaulah ini benar what and who is stopping him? Andainya Muhyiddin teruskan “hasratnya” siapa penggantinya di antara tiga Naib Presiden Umno yang paling qualified; mempunyai kapasiti, abiliti dan potensi yang Malaysia boleh berbangga di luar lurah, desa dan kampung kita?.
Mengikut kolumnis The Star, Joceline Tan, walaupun Najib tersasul, yakni sukar menyebut perkataan “proliferation” dua kali di depan Barack Obama, dia, Najib, petah bercakap dalam bahasa Inggeris dan bahasa Inggerisnya lebih baik daripada Obama. Najib bercakap Queen’s English sementara Obama berbicara dalam loghat American English. Kolumnis itu disokong oleh Alwi Che Ahmad, Adun Kok Lanas, kawan baik Tan yang mendakwa: “I am proud to be a Malay but I am also proud my Prime Minister did not speak English like a Malay (tersirat seperti Muhyiddin, Zahid, Shafie, Dr Mahathir dan bekas bos Alwi sendiri, Badawi?”)
Sepupu Najib pula, Hishammuddin Hussein Onn, seperti PM dianggap bercakap Queen’s English hasil pendidikan di England semasa mereka masih budak. Ramal Tan peranan Hishammuddin dalam peristiwa MH370 “has put him back into the running for the top job”. Yakni kepetahannya dalam bahasa Inggeris telah meletakkan kembali Hishammuddin sebagai seorang bakal perdana menteri. Peristiwa MH370 menunjukkan betapa pentingnya pemimpin kita fasih bahasa Inggeris.
Adakah ini bermakna peluang Zahid dan Shafie tipis jadi PM kerana keduanya menggunakan bahasa Inggeris loghat Melayu dan tidak idiomatik? Saya kira tidak. Benar bahasa Inggeris mustahak tetapi ilmu, akhlak, amanah, senang didekati dan tidak bongkak mesti didahulukan. Apa pun perwakilan dan pemimpin Umno menentukan siapa PM dan siapa TPM. Populariti atau 'likeability' pada akhirnya akan menentukan siapa berjaya. Memang bagus dan ideal kalau PM dan TPM bahkan menteri, timbalan menteri juga setiausaha politik harus boleh bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan sempurna – di tahap yang diterima dalam kampung global. Lihat sahaja tidakkah memalukan kita kalau pemimpin kita bercakap Inggeris seperti Yingluck Shinawatra? Sungguhpun elit Thai ''embarrassed'' mendengar dan melihatnya tetapi Yingluck menang dua kali pilihan raya umum dan memimpin negara itu. Seboleh-bolehnya kita cari dan memilih calon yang bahasa Inggeris dan Melayunya baik tetapi lebih utama, pada saya, moral, kejujuran, abiliti dan senang didekati dan tidak sekali munafik serta bersalin muka tiap waktu.
Umno mesti menang PRU14 terlebih dahulu sebelum bercakap siapa pengganti Najib dan Muhyiddin. Umno sebenarnya kurang pemimpin pelapis ,baik di peringkat Pusat dan negeri. Siapa pemimpin pelapis Kelantan dan Selangor umpamanya? Di Pusat sekurang-kurangnya parti itu ada Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir.
Parti pembangkang pula satu ketika calon PMnya berkisar pada Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Lim Kit Siang. Selepas PRU14 ,kalau Pakatan menang mungkin calon mereka anak Lim Kit Siang, Guan Eng, isteri atau anak Anwar Ibrahim - Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah atau Hadi hatta Mat Sabu pun.
Tidak boleh dinafikan bakal PM kita, baik dari Umno atau pembangkang, kalau boleh mesti bisa bicara dalam bahasa Inggeris yang tidak menjadikan kita bahan ejekan dan jenaka. Bukan senang mencari calon yang petah bahasa Inggeris, bahasa Melayu juga berkelayakan, amanah, dedikasi dan yang tidak akan merompak negara kita.
Kalau pendapat Tan dan Alwi diambil kira, jelas Hadi tidak dalam barisan bakal PM tetapi kalau Pas menang, suka-duka, Hadi PM dan nasionalis bahasa akan senang hati kerana saya percaya Hadi akan berucap dalam bahasa ibunda di pentas mana pun, mungkin jarang-jarang sekali dalam bahasa Arab. Isu bahasa Inggeris tidak relevan. Islam mesti didahului. Seronoklah Melayu Islamis dan Melayu Arab.
Tiga tahun bukan masa yang lama. Macam-macam boleh berlaku di luar dan di dalam negara yang akan menukar landskap politik dan peluang parti politik. Dalam politik sebenarnya tiada pantang-larang - those who dare win- mereka yang sanggup ambil risiko menang (selalunya). Kerusi empuk dan royal/ presidential suite di Sri Perdana, Putrajaya dan di mana sahaja PM menginap dan hinggap tidak datang bergolek. Bakal PM mesti berlumba-lumba merebutnya.
No comments:
Post a Comment