Monday, July 28, 2014

Penduduk Filipina 100 juta orang

 Penduduk Filipina 100 juta orangSeorang jururawat bersama bayi ke-100 juta Filipina yang dilahirkan selepas tengah malam di hospital di Manila, semalam. - Foto AFP

 Manila: Seorang bayi perempuan yang dilahirkan awal pagi semalam secara rasmi menjadikan jumlah penduduk Filipina kepada 100 juta, menunjukkan cabaran menyediakan keperluan kepada lebih ramai rakyat di negara miskin itu.

Bayi berkenaan, Jennalyn Sentino, ialah seorang daripada 100 bayi yang dilahirkan di hospital seluruh negara itu yang menerima petanda simbolik ‘bayi ke 100,000,000.’

“Ini adalah peluang yang perlu kita ambil dan cabaran yang perlu kita hadapi,” kata pengarah eksekutif Suruhanjaya Kependudukan, Juan Antonio Perez.

Walaupun peningkatan jumlah penduduk bermakna tenaga kerja ramai, ia juga bermakna lebih kebergantungan kepada negara yang menyaksikan kira-kira 25 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan, katanya.

Beliau berkata, Filipina perlu mencari jalan memberikan perkhidmatan kepada keluarga paling miskin dan pada masa sama menurunkan purata bilangan bayi yang boleh dilahirkan wanita subur.

Turunkan tahap kesuburan

“Kami mahu menurunkan kadar kesuburan kepada dua anak sepanjang hidup seorang wanita, daripada paras purata tiga orang,” katanya.
Ketika meraikan kelahiran bayi berkenaan dengan kek dan hadiah serta selimut, kerajaan juga memantau setiap seorang 100 kanak-kanak itu dalam masa beberapa tahun akan datang untuk melihat sama ada mereka menerima perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, kata Perez. - AFP

No comments:

Post a Comment