Urusetia Bazar Ramadan Kluang menafikan telah bertindak kasar terhadap pemimpin pembangkang Johor yang cuba memberi sumbangan kurma kepada orang ramai di dalam kejadian yang menerima liputan meluas pada 30 Jun lepas.
Menurut salah seorang wakilnya, dalam kejadian itu mereka telah meminta secara baik supaya pemimpin-pemimpin pembangkang Johor itu meninggalkan kawasan bazar.
"Kami amat kesal dengan kenyataan pemimpin Pakatan itu yang mendakwa mereka telah dikasari dan dihalau sedangkan kami tidak pernah mengasari mereka."
"Kami tegur mereka dengan cara baik dan bersopan. Mereka (pemimpin pembangkang) itu telah memasuki bazar dengan cara yang tidak elok," kata wakil urusetia itu hari ini.
Menurutnya lagi, bukan sahaja tidak mempunyai kebenaran untuk memasuki bazar Ramadan itu, tetapi beliau turut mendakwa mereka mempunyai niat untuk menjalankan kempen politik secara halus kepada para pengunjung.
"Kesemua mereka memakai pakaian yang mempunyai lambang parti politik, Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Pas," katanya.
Di dalam kejadian pada petang 30 Jun itu, anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Tan Hong Pin mendakwa mereka diherdik secara kasar dan dihalau daripada memasuki bazar Ramadan itu untuk memberikan sumbangan buah kurma kepada pengunjung.
Chin Tong merupakan Pengerusi DAP Johor, manakala Hong Pin pula adalah Ketua Pemuda DAP Negeri. Turut serta di dalam kunjungan itu adalah beberapa pemimpin Pas daerah.
Mereka mendakwa bazar ramadan itu diuruskan oleh UMNO Bahagian Kluang.
No comments:
Post a Comment