KOTA KINABALU 3 Sept. - Seorang bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) sebuah parti politik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut dengan mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook miliknya, Julai lalu.
David Orok, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun Facebook bernama David Orok di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Roun, Jalan Labuaya, Tompokan, Tuaran antara pukul 12 tengah hari dan 1.50 petang, 4 Julai lalu.
Ahli perniagaan yang juga bekas calon DUN Sulaman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Arifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Ummu Khaltom membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada hari Isnin setiap minggu sementara menunggu sebutan kes itu pada 30 September ini.
Pada 5 Julai lalu, Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (CONCERN) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas ada individu memuat naik kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140904/ma_09/Bekas-calon-DUN-Sulaman-mengaku-tidak-bersalah-hina-Nabi-Muhammad#ixzz3CI3XMNAf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment