PUTRAJAYA 3 Sept. - Seorang kerani wanita keturunan Cina Muslim hari ini gagal untuk meminda nama dan memadamkan perkataan 'Islam' dalam kad pengenalannya selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Linton Albert yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusof dan Hakim Mahkamah Tinggi, Vernon Ong Lam Kiat tidak mengarahkan kos dibayar oleh perayu, Noraini Soon kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Kuorum itu sebulat suara berpuas hati Noraini, 39, masih beragama Islam menjadikan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu dalam rayuannya.
Mahkamah berpendirian bahawa pihaknya terikat dengan keputusan kes Lina Joy berhubung isu serupa.
Berdasarkan kes Lina Joy, perayu kekal sebagai penganut Islam sehingga status agamanya ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Noraini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakimannya pada 24 Julai tahun lalu bagi mendapatkan perintah memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminda nama pada kad pengenalannya dan memadam perkataan 'Islam'.
Dia turut memohon perintah untuk membatalkan keputusan JPN bertarikh 15 Ogos 2012 yang menolak permohonannya untuk pindaan tersebut.
Mahkamah Tinggi memutuskan demikian setelah berpendapat tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan isu agama dalam permohonan itu.
Mahkamah turut berpuas hati wanita itu seorang Islam berdasarkan pada sijil kelahiran yang dikeluarkan pada 3 Januari 1975 bahawa ibunya seorang Cina manakala bapanya, Mohamed Ivan Soon berketurunan Cina Muslim.
Panel itu turut menerima keputusan Mahkamah Tinggi yang berpuas hati bahawa dia beragama Islam berdasarkan permohonan pertama untuk membuat kad pengenalan pada 1987 serta permohonan untuk memperbaharuinya pada 1994.
Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Noraini menyatakan bahawa agamanya telah secara salah dinyatakan sebagai Islam kerana dia tidak pernah menganut agama itu.
Perayu menyatakan, dia dan ibunya beragama Buddha dan dia tidak pernah mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam.
Berdasarkan Seksyen 2 Akta Pendaftaran Undang-Undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), dia seorang Islam kerana sewaktu kelahiran sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa adalah Islam.
Noraini diwakili oleh peguam Wong Poh Leng manakala responden oleh Peguam Kanan Persekutuan, Khairul Fazly Kamarudin.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140904/ma_08/Wanita-Cina-Muslim-gagal-padam-Islam-dalam-kad-pengenalan#ixzz3CI3Nzaae
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment