Jakarta: Penyiasat antirasuah mendapat arahan melarang isteri bekas Menteri Agama Indonesia, Suryadharma Ali, dan lima rakannya di parlimen sebagai sebahagian daripada siasatan kes penyelewengan dana haji.
Wardatul Asriah yang menjadi anggota Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dilarang meninggalkan Indonesia selama enam bulan sejak 22 Ogos lalu.
Jurucakap Komisi Pembanterasan Rasuah (KPK) Johan Budi berkata ada kemungkinan Wardatul didakwa di mahkamah jika mereka mendapat bukti mencukupi.
Suami Wardatul, Suryadharma, adalah Ketua Umum PPP dan meletak jawatan sebagai menteri Mei lalu selepas dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah.
Suryadharma juga didakwa menggunakan kuasanya mendapatkan tempat bagi ahli keluarga serta kroninya mengerjakan haji.
Tindakan Suryadharma itu membolehkan mereka mengetepikan bakal haji lain dan sepatutnya menunggu giliran sehingga 17 tahun lagi.
Johan berkata KPK juga mendapat perintah larangan bagi ahli parlimen daripada PPP, Hasrul Azwar serta wakil Parti Demokrat, Gondo Radityo Gambiro, Muhammad Bagowi, Nurul Iman Mustofa dan Ratu Siti Romlah.
Semua mereka adalah anggota jawatankuasa peringkat parlimen untuk memantau hal ehwal haji, manakala Wardatul bertanggungjawab mengawasi hal berkaitan tenaga, teknologi dan alam sekitar.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10
No comments:
Post a Comment