MOHD. Ali Salleh dan S. Lina Abdul Rahman melayan Muhammad Shahril Haikal yang menghidap kanser hati ketika ditemui di Kampung Pulau Mertajam, Penaga, Pulau Pinang, baru-baru ini. – UTUSAN/Sazali Che Din.
KEPALA BATAS 8 Dis. – Sebelum ini, Muhammad Shahril Haikal Mohd. Ali aktif dan sering menghabiskan masa bermain bola sepak dengan abangnya.
Namun kini, kanak-kanak berusia lima tahun itu hanya mampu duduk di rumah selepas dikesan menghidap kanser hati tahap empat.
Semuanya bermula pada Oktober tahun lalu apabila dia yang sering demam dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, namun doktor gagal mengesan punca penyakitnya.
Anak bongsu kepada pasangan Mohd. Ali Salleh, 43, dan S. Lina Abdul Rahman, 43, itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan menghidap kanser hati.
Sejak tarikh itu, HKL mula menjadi rumah kedua kepada Muhammad Shahril Haikal kerana dia terpaksa menjalani rawatan susulan sekali sebulan serta pernah menjalani pembedahan pada Oktober 2013 dan April lalu.
Menurut ibunya, pada mulanya dia tidak menyangka benjolan kecil di perut anaknya itu adalah tanda-tanda awal kanser sebelum disahkan oleh pakar di HKL.
“Sejak disahkan menghidap kanser hati pada tahun lalu, kami terpaksa berulang-alik dari Felda Chini 4, Pekan, Pahang ke HKL untuk Muhammad Shahril Haikal mendapatkan rawatan.
“Keadaan semakin serius pada Oktober tahun ini selepas hari lahirnya yang kelima apabila dia muntah darah dan perutnya mula mengembung,” katanya ketika ditemui di Kampung Pangkalan Sena, Penaga, di sini baru-baru ini.
Jelas S. Lina, kali terakhir Muhammad Shahril Haikal dibawa ke HKL adalah pada 19 November lalu dan dia hanya diberi ubat tahan sakit bagi meredakan kesakitan dialami.
Tambahnya, doktor hanya memaklumkan supaya anaknya itu dibawa semula ke HKL sekiranya dia diserang demam berpanjangan tanpa ada sebarang jaminan untuk sembuh.
Sementara itu, bapanya, Mohd. Ali berkata, setiap kali berulang ke HKL, dia terpaksa membelanjakan hampir RM2,000 termasuk perbelanjaan pengangkutan dan makanan.
“Dengan pendapatan yang tidak seberapa sebagai seorang peneroka, saya tidak mampu membiayai kos pengangkutan dan perbelanjaan setiap kali terpaksa ke Kuala Lumpur.
“Pernah beberapa kali saya terpaksa bawa Muhammad Shahril Haikal ke HKL menggunakan bas kerana tidak cukup duit untuk mengisi minyak kereta,” katanya yang terpaksa berpindah ke rumah ibunya di Penaga untuk menjimatkan kos ulang-alik ke HKL.
Kata Mohd. Ali, kini dia hanya menjalankan kerja-kerja kampung sekitar Penaga kerana Muhammad Shahril Haikal tidak mahu berenggang lama dengannya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan kehidupan keluarga ini boleh menghubungi Mohd. Ali di talian 017-9556544 atau melalui akaun Maybank bernombor 1562 3505 6674 atas nama S. Lina Abdul Rahman atau Bank Simpanan Nasional (BSN) 0600341000043713 (Mohd. Ali Salleh).
No comments:
Post a Comment