Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu  di sini, hari ini berhubung salah laku dan penipuan yang dilakukan seorang individu berpangkat Datuk terhadap dirinya untuk mendapatkan satu kawasan pembalakan di Kijal.  - Foto Bernama
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini berhubung salah laku dan penipuan yang dilakukan seorang individu berpangkat Datuk terhadap dirinya untuk mendapatkan satu kawasan pembalakan di Kijal. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki bergelar "Datuk" yang didakwa menggunakan namanya untuk menipu membabitkan RM1.8 juta.
 
Adun Kijal itu memanfaatkan masa rehat persidangan Dun Terengganu untuk membuat laporan itu di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada jam 10.50 pagi.
    
Ketika ditemui pemberita, Ahmad mendakwa lelaki bergelar "Datuk" berumur 52 tahun itu telah menggunakan namanya ketika beliau masih menjadi Menteri Besar bagi penipuan mendapatkan RM1.8 juta kononnya bagi satu kawasan pembalakan daripada seorang pengurus kilang papan di sini dari Singapura.
    
"Pengurus itu telah menyerahkan wang tersebut kepada "Datuk" itu selepas terpedaya yang kononnya dia (Datuk) rapat dengan saya dengan alasan wang itu untuk diberikan kepada saya serta akan memberi satu kawasan pembalakan," katanya.
    
Menurutnya, beliau tidak mengenali 'Datuk" itu dan meminta polis melakukan siasatan terperinci bagi membawa orang yang menipu itu ke muka pengadilan.
    
Ahmad berkata, tindakan individu tersebut telah mencemarkan nama dan menjatuhkan reputasi beliau sebagai seorang ahli politik.
    
"Kes ini saya sedari apabila seseorang datang berjumpa dan menceritakan pengurus syarikat tersebut marah kerana tidak dapat kawasan balak dijanjikan pada bulan September tahun lalu.
    
"Saya yang ketika itu masih lagi Menteri Besar Terengganu telah berjumpa dengan pengurus terbabit serta meminta dia membuat laporan polis," katanya. - Bernama