- MAR 20, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Kartunis politik, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque mempertahankan kartunnya yang tersiar dalam Washington Post dan menyifatkan ahli akademik yang mengkritiknya sebagai “pembela Perdana Menteri” dan “tidak cukup membaca”.
Dalam satu kenyataan media, beliau merujuk berita yang disiar The Star Online semalam bertajuk "Local cartoonist Zunar slammed over Washington Post comic strip" (Kartunis tempatan dihentam kerana kartun dalam Washington Post).
Berita tersebut memuatkan komen Ketua Politik, Keselamatan dan Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang mengulas karya Zunar berhubung isu kehilangan pesawat MH370 di akhbar Washington Post, Selasa lalu.
Akhbar Amerika itu menyiarkan kartun Zunar dalam artikel bertajuk, "Cartoon of the day: Malaysian artist on the lost jet — and his government’s ‘weak’ response to it” (Kartun hari ini: Artis Malaysia komen mengenai kehilangan jet serta kerajaan yang 'lemah'.
Mustafa seperti dilaporkanThe Star Online menyifatkan karya Zunar sebagai “tidak sensitif dan menyimpang” serta "hanya spekulasi dan tuduhan liar".
Kartun karya Zunar itu disiar web portal Malaysiakini dan dimuatkan semula dalam blog Zunar diwww.zunar.my.
Menjawab bidasan Mustafa itu, Zunar tegas dengan pendirian bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak sangat lemah dalam menangani tragedi yang menimpa kapal terbang MH370.
“Saya memahami sesetengah ahli akademik kerjanya membela Perdana Menteri, tetapi Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa nampaknya tidak cukup membaca sebelum dia membuka mulut.
“Sebagai makluman, saya membuat kesimpulan yang kemudian diterjemah dalam kartun hasil dari pembacaan serta analisis yang bukan saja diperolehi bmelalui media perdana tempatan saja, tetapi melalui puluhan media antabangsa lain juga,” ujarnya.
Zunar menyarankan Mustafa agar menonton dan membaca ulasan agensi media antarabangsa seperti CNN, Al Jazeera, Washington Post, Jakarta Post dan South China Morning Post tentang insiden kehilangan pesawat MH370 selain akhbar tempatan.
Menurutnya, jika Mustafa meluaskan pembacaannya, pasti beliau akan terbaca bagaimana China, Amerika, Vietnam dan Indonesia sangat kecewa dengan Malaysia yang didakwa tidak berkongsi maklumat penting kehilangan pesawat MH370.
“ BBC melaporkan bahawa kaum keluarga penumpang di China mengugut untuk melancarkan mogok lapar sekiranya pihak berkuasa Malaysia gagal untuk memberi mereka sebarang maklumat tepat mengenai MH370.
“Saya tidak menyatakan bahawa kita harus percaya segala laporan media luar negara, tetapi pemahaman kita akan menjadi sangat cetek jika kita hanya membaca akhbar arus perdana,” tegas beliau.
Menurut Zunar, sebagai kartunis beliau berusaha memberi sudut pandangan yang berbeza supaya pembaca mendapat perspektif yang lebih baik bagi pendebatan yang sihat.
Falsafah kartun "how can I be neutral, even my pen has a stand", ujarnya menghendaki beliau mempunyai etika berkartun dalam menyampaikan mesej dan pandangan.
“Saya membuat banyak kajian dan mengumpul seberapa banyak maklumat dari perspektif yang berbeza,” ujarnya.
Zunar pernah ditahan di bawah Akta Hasutan kerana melukis kartun manakala tujuh buku beliau diharam oleh kerajaan.
Zunar juga menerima anugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011" oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis, Washington dan pernah mengadakan pameran solo di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment