KIEV 19 Mac - Krisis di wilayah autonomi Crimea, akhirnya mengakibatkan korban yang pertama apabila seorang askar Ukraine maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata pro-Rusia, semalam.
Kejadian itu berlaku di sebuah kem tentera Ukraine di Simferopol ketika Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk memberi amaran bahawa krisis tersebut kini memasuki fasa ketenteraan.
"Tentera pro-Rusia telah melepaskan tembakan ke arah askar Ukraine dan tindakan itu merupakan jenayah perang.
"Saya telah meminta Menteri Pertahanan, Andrii Deshchytsya mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Britain, Perancis dan Rusia bagi mencari jalan mengelakkan krisis Crimea meruncing," katanya.
Malah, kebimbangan tercetus peperangan antara Kiev dan Moscow semakin memuncak apabila Presiden sementara negara ini, Oleksander Turchinov memberi kebenaran terhadap askar Ukraine di Crimea untuk menggunakan senjata bagi melindungi nyawa mereka.
Arahan penggunaan senjata itu yang pertama seumpamanya dikeluarkan selepas tentera Ukraine yang ditempatkan di Semenanjung Laut Hitam, dikepung oleh tentera Rusia sejak tiga minggu lalu.
Kementerian Pertahanan Ukraine dalam kenyataannya menjelaskan, arahan itu dibuat berikutan kematian tenteranya.
Sementara itu, kira-kira 200 anggota kumpulan bersenjata pro-Rusia dilapor menceroboh masuk sebuah bangunan di ibu pejabat Tentera Laut Ukraine di Pelabuhan Sevastopol, hari ini.
Seorang jurucakap tentera laut yang enggan dikenali berkata, tiada keganasan tercetus ekoran tindakan kumpulan terbabit yang kini mengadakan perbincangan dengan anggota tentera Ukraine yang ditempatkan di situ.
Jelasnya, kumpulan itu dipercayai sukarelawan yang menyokong peralihan Crimea di bawah pemerintahan Rusia. - REUTERS/AFP/DPA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140320/lu_03/Korban-pertama-krisis-Crimea#ixzz2wRnM5S9w
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment