Wednesday, May 27, 2015

Baca al-Quran dengan langgam Jawa

Jakarta: Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia, Din Syamsuddin berharap isu seorang qari membaca kitab suci al-Quran dengan langgam Jawa tidak mencetuskan kontroversi yang berlebihan.
Katanya, membaca al-Quran menggunakan langgam tertentu tidak menjadi kesalahan tetapi kontroversi yang berlebihan boleh memecahbelahkan umat Islam.
“Tiada hadis atau ayat al-Quran yang melarang membaca kitab suci ini menggunakan langgam lain selain langgam Arab.
“Al-Quran berbahasa Arab dan turun di negara itu sehingga ia wajar dibaca menggunakan langgam Arab.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu langgam apa yang digunakan Nabi Muhammad SAW dan adakah sama seperti langgam yang digunakan kita ketika ini,” katanya.
Menurutnya, apa yang penting ketika membaca al-Quran ialah setiap tajwid dan sebutan huruf mesti betul panjang atau pendeknya.
“Jangan sampai langgam ini mengubah makna ayat kerana itu satu kesalahan besar,” tegasnya.
Isu membaca al-Quran dengan langgam Jawa heboh diperkatakan di Indonesia selepas majlis Israk Mikraj di Istana Presiden pada 15 Mei lalu.
Dalam majlis berkenaan, seorang qari, Muhammad Yasser Arafat membacakan al-Quran dengan langgam Jawa.
Menteri Agama Lugman Hakim Saifudin mengaku menjemput qari itu membaca al-Quran dalam majlis yang dihadiri Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan duta negara Islam.
Ia mencetuskan kontroversi apabila pakar pengajaran al-Quran, Ahmad Annuri dari Dewan Dakwah Islamiah menuduh kerajaan meliberalisasikan agama Islam.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 7:34 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53416#sthash.y6EFOKfU.dpuf

No comments:

Post a Comment