KUALA SELANGOR - Selama menjalinkan kerjasama sama dengan PR, Pas tidak pernah mengkhianati tahaluf siyasi bersama rakan mereka PKR dan DAP.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu paling berdisiplin dalam menjaga hubungannya dengan rakan PR.

Bagaimanapun, rakan mereka DAP telah menyentuh soal akidah dan kepimpinan Pas sehingga mereka terpaksa bersuara.

"Kita amalkan tahaluf sejak Pas ditubuhkan, kita menghadapi liku-liku yang mencabar. Alhamdulillah Pas menunjukkan kita parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. Pas tidak khianati kawan, Pas beradab dalam tahaluf kerana tahaluf fahaman dalam titik persefahaman.

"Masing-masing berbeza ideologi, tidak ganggu akidah dengan ideologi berbeza dalam titik persamaan kita berbeza pandangan," katanya pada ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas kali ke - 61, hari ini.

Menurut, beliau titik persamaan itu telah dirosakkan oleh rakan dalam PR sendiri.

"Namun rakan kita menyentuh dan mengaibkan kita yang berkait akidah bukan ideologi. Isu syariat, isu kepimpinan parti ini urusan dalaman Pas kita tidak kempen pemilihan parti orang lain.

"Orang lain tolong kempen pemilihan kita, disiar oleh media kesian rakan-rakan kita yang jadi mangsa," katanya.

Tegas beliau,  tiada seorang pun kepimpinan Pas yang menolak perlaksanaan hukum hudud kerana perkara itu perkara yang di perjuang Pas sejak dahulu.

"Tidak ada lagi pemimpin Pas yang tolak akidah Islam, kalau mereka tolak mereka tak masuk Pas. Tetapi akibat salah laku rakan PR menyebabkan pimpinan kita tercalar.

"Ini bukan silap kita. Kita mencuri ahli, wakil rakyat orang. Ini salah laku termasuk isu penting Islam adalah teras kekuasaan politik negara. Ini akidah tapi ada yang memperkecilkan teras akidah perjuangan kita," katanya.

Abdul Hadi dalam ucapannya juga meminta agar semua pimpinan Pas yang baharu atau lama tidak terus hanyut dengan agenda pihak yang mahu memusnahkan usaha Pas selama ini.

Selain itu, turut memberitahu ada pihak yang cemburu akan hubungan Pas dan Umno.

Jelas beliau, hubungan yang terjalin adalah berlandaskan syariat bagi tujuan merealisasikan hukum hudud.

"Tetapi ada orang cemburu buta, macam kisah suami isteri,  isteri yang tidak benar suaminya ke pasar sehingga tidak boleh bercakap dengan perempuan lain.

"(Begitu) Pas diharamkan jumpa Umno, tak boleh itu tak boleh," katanya.

Bagi memastikan kepimpinan Pas terus bergerak ke hadapan, beliau berharap agar semua menyokong kepimpinan baharu dipilih.

Katanya,  kemenangan itu adalah atas pertolongan Allah untuk hambaNya menjalankan amanah yang diberikan.

"Kemenangan ini adalah bersyarat wajib untuk teguhkan akidah," katanya.

Beliau turut meminta semua ahli Pas menjadikan kisah Nabi Yunus sebagai tauladan yang di tarbiah Allah atas kesilapan yang dilakukan.