Tuesday, June 30, 2015

Kawal bunyi dari masjid


Jakarta: Kerajaan Indonesia menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji dan mengurangkan bunyi dari masjid di seluruh negara itu.

Pada setiap Ramadan, masjid di Indonesia sering memasang cakera padat (CD) mengaji al-Quran dengan kuat sehingga mengganggu penduduk berhampiran.

Ada 800,000 masjid di Indonesia dan ramai penduduk berhampiran rumah ibadah itu mengadu sering terganggu dengan bunyi pembesar suara yang terlalu kuat.

Bagi mengatasi isu itu, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla menubuhkan pasukan untuk mengambil sampel bunyi yang dikeluarkan dari pembesar suara masjid di seluruh negara.

Jurucakap Jusuf Husain Abdullah berkata, pasukan itu memberi nasihat kepada pengurusan masjid supaya merendahkan sedikit bunyi pembesar suara.

“Kami mahu masjid mengeluarkan bunyi yang lebih harmoni dan menenangkan,” katanya.

Katanya, pasukan itu akan memastikan bunyi pembesar suara dari masjid tidak bertindih dengan bunyi dari masjid berdekatan.

“Perang pembesar suara biasa berlaku apabila pihak pengurusan masjid sengaja memasang pembesar suara dengan kuat untuk berlawan dengan masjid berdekatan bagi menarik lebih ramai jemaah,” jelasnya.

Menurutnya, kumpulan membabitkan 100 juruteknik itu ditubuhkan pada awal bulan ini dan mereka mengambil banyak sampel bunyi dari masjid di seluruh negara.

Tambahnya, laporan itu akan diserah kepada Jusuf yang akan berbincang dengan badan dan pertubuhan Islam bagi mencari jalan mengatasi isu berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:11 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60516#sthash.z2UqcJDb.dpuf

No comments:

Post a Comment