WARTAWAN SINAR HARIAN
Azman Ibrahim Azman Ibrahim
KUALA TERENGGANU – Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu, disifatkan pemimpin pembangkang sebagai ‘bajet gali lubang timbus lubang’.
Ketua Kebajikan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, tiada apa yang mengejutkan dan tiada perkara baharu dalam bajet tersebut yang boleh membantu mempertingkatkan kehidupan rakyat yang kian tertekan ketika ini.
“Kalau kita gali satu lubang, kemudian kita timbus, kemudian gali lagi satu lubang lain, kemudian timbus semula, maka walau peluh menitik menandakan kita dah lelah bekerja, tetapi hasilnya tak ada apa-apa.
“Kalau gali lubang untuk menanam sesuatu yang boleh dinikmati hasilnya oleh anak cucu kelak, itu sudah dikira berhasil. Kita lebih bimbang kalau gali lubang untuk timbus bangkai busuk,” katanya.
Beliau memberitahu rakyat mahu mendengar perkara yang boleh memberi manfaat kepada mereka walaupun ia mungkin tidak mampu mengubah kehidupan dalam masa terdekat.
Walaupun berlaku peningkatan terhadap nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet kali ini, namun ia sesuatu yang bersifat sementara dan tidak mampu mengubah apa-apa.
Azman juga turut yakin peningkatan nilai BR1M akan memperlihatkan kenaikan lain selepas ini.
“Kerajaan menunjukkan bahawa BR1M diterima, kita akui rakyat menerimanya tetapi tidak bawa apa-apa perubahan kepada kehidupan rakyat. Kita percaya, apabila BR1M naik, akan ada yang akan naik nanti, yang kerajaan akan kutip daripada rakyat.
“Mereka beratur panjang untuk mendapatkan wang tetapi kemudian wang mereka pula diambil akibat kenaikan lain yang mungkin dikenakan selepas ini,” katanya.
Melalui pemerhatiannya juga katanya, pembentangan Bajet 2016 tidak begitu diendahkan rakyat seolah-olah mereka tidak menanti-nantikan sesuatu yang baharu daripada kerajaan, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.
Keadaan itu katanya memperlihatkan bahawa rakyat percaya bajet tersebut tidak akan membantu mengurangkan kos sara hidup seharian walaupun pembentangan itu dibaca dengan bait-bait bahasa bernada puitis dan kritis.
Sementara itu, beliau tidak bersetuju dengan kadar kemiskinan yang dikatakan telah hampir disifarkan, kerana masih ramai khususnya rakyat di negeri ini berhadapan situasi tidak cukup makan.
Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam soal kebajikan, pihaknya sangat dekat dengan rakyat bawahan yang memperlihatkan situasi sedemikian di samping rumah yang uzur dan sering dimasuki air setiap kali hujan dan anak-anak terpaksa bergilir-gilir ke sekolah kerana ibu bapa tidak mampu memberi perbelanjaan.
“Sebagai Ketua Kebajikan Pas Terengganu, sudah banyak tempat yang saya jelajahi. Saya boleh tunjukkan kepada perdana menteri di mana lokasi rumah rakyat miskin tegar dalam masyarakat.
“Walau kita tahu pasti mereka akan kata, ‘kerajaan dah sediakan macam-macam kemudahan, itu salah orang miskin kerana tak nak berusaha!’ Sekadar perdana menteri tengok di sekeliling Seri Perdana, memanglah tak ada orang miskin tegar,” katanya.
No comments:
Post a Comment