SYDNEY: Dron akan digunakan untuk memantau kawasan pantai peranginan popular di timur Australia untuk menjejak jerung yang sudah ditanda sebagai sebahagian strategi untuk meningkatkan keselamatan orang ramai mandi di laut.
Australia adalah antara negara yang mencatat kes serangan jerung tertinggi di dunia, dengan 13 kes di negeri New South Wales (NSW) tahun ini, yang mana seorang terbunuh dan 7 cedera. Kes serangan jerung yang tinggi boleh menjadi ancaman utama kepada industri pelancongan.
Negeri itu yang paling padat penduduk di Australia serta melarang langkah menakai bagi mengurangkan populasi jerung, mengumumkan rancangan lima tahun untuk menyelesaikan isu serangan jerung, termasuk menggunakan sistem sonar generasi baharu serta meningkatkan pemantauan dari udara.
Menteri Perusahaan Utama NSW, Niall Blair, berkata pendekatan itu dilaksanakan selepas mendapat input daripada pakar dan komuniti.
"Kami bangga menjadi wilayah pertama yang menggunakan pendekatan sebegini untuk memastikan kawasan pantai selamat," katanya.
Plan itu dengan kos Aus$16 juta, bertujuan melindungi orang yang mandi laut dan peluncur ombak tetapi pada masa sama tidak mengancam jerung, akan membabitkan penggunaan dron yang akan menyediakan pemantauan masa sebenar keadaan laut di pinggir pantai serta meningkatkan pengawasan menerusi helikopter.
Program menanda jerung juga akan diperhebatkan, boya dilengkapi sonar pengesan jerung juga akan ditambah serta 20 'stesen mendengar' baharu yang menggunakan teknologi 4G untuk meningkatkan pengawasan terhadap jerung yang sudah ditanda. - AFP
No comments:
Post a Comment