Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diwawancara dalam rancangan "Soal jawab" edisi khas yang disiarkan TV3 di sini hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] ‎"Saya tidak kenal Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes itu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan pengacara dalam program wawancara khas yang disiarkan TV3, malam ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persoalan mengenai perkara itu seperti yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.
 
‎Tambah Najib, isu dirinya yang dikaitkan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi ini merupakan 'cerita lama' yang timbul pada 2008.
 
"Saya sudah lafaz sumpah yang saya tidak mengenali Altantuya dan tidak terlibat secara langsung sama sekali dengan Altantuya.
 
"Pak lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) iaitu Perdana Menteri yang terdahulu juga sudah mengesahkan perkara ini termasuk Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) pada masa itu juga sudah buat kenyataan saya tidak terlibat," katanya lagi.
 
Menurut Najib lagi, mahkamah juga tidak ada bukti atau saksi untuk mengaitkan beliau terlibat dalam kes itu.
 
"... takkan kita nak pertikai integriti mahkamah," katanya lagi.
 
Ketika disoal pengacara, sama ada Najib pernah disoal Dr Mahathir mengenai kes Altantuya, Najib berkata, beliau pernah membincangkan perkara itu sekali.
 
"Beliau tak persoal penglibatan perkara ini secara langsung kepada saya. Isu ini tak berbangkit sama sekali. 
 
"Saya sendiri, sebagai Perdana Menteri pergi ke rumah beliau untuk berbincang," katanya.