ISHMAEL Gilbert (kiri) melayan seorang nenek yang mahu membayar barangan dibelinya dengan duit syiling. AGENSI
NEW YORK 20 Jan. – Seorang juruwang pasar raya Target di Indiana, Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai selebriti Internet setelah cerita tentang kesabarannya melayan kerenah seorang nenek dikongsikan puluhan ribu pengguna media sosial, baru-baru ini.
Mail Online melaporkan, Ishmael Gilbert, 19, baru-baru ini didatangi nenek tersebut yang membawa duit syiling untuk membayar barangan yang dibelinya.
Menariknya, Ishmael yang baru beberapa hari bekerja di situ, langsung tidak melatah sebaliknya membantu nenek itu mengira duit syiling yang dibawanya dengan penuh sabar.
Kejadian itu disedari dan dirakam seorang wanita, Sarah Owen Bigler, 35, yang secara kebetulan beratur di belakang nenek tersebut sebelum dia memuat naik kisah berkenaan di laman Facebook miliknya.
Bigler yang ketika itu bersama anak perempuannya berkata, pada mulanya dia berang kerana terpaksa beratur lama untuk menunggu giliran membayar, namun kemudian tersentuh dengan kesabaran Ishmael.
“Saya lihat pekerja muda ini mengambil duit syiling daripada tangan nenek itu yang menggeletar dan tolong mengiranya. Sepanjang tempoh itu, dia juga tidak membuat muka atau menjegilkan mata tanda bosan, malah saya dapat dengar pemuda itu berkata ‘Ya puan’ beberapa kali,” kata Bigler.
Sejurus warga emas itu selesai membayar, Ishmael mula mengira barang yang dibeli Bigler sambil meminta maaf kepada wanita tersebut atas kelewatan yang dialaminya.
Kisah itu mendapat reaksi luar biasa apabila dikongsi sebanyak 22,000 kali dalam tempoh lima hari.
“Saya rasa gembira apabila kerja saya diiktiraf. Namun, kejadian itu bukanlah yang pertama kali kerana semua pelanggan memang wajar menerima layanan baik,” kata Ishmael.
No comments:
Post a Comment