Thursday, January 21, 2016

Barang rumah Datuk Hamidah Osman dilelong RM100,000


Oleh Shamsul Kamal Amarudin


KAKITANGAN Mahkamah Tinggi Ipoh menyita barangan dalam rumah milik Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman 23 Disember lalu. - Foto NSTP
BATU GAJAH: Barangan dalam rumah bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng yang dipecat, Datuk Hamidah Osman, dilelong pagi ini pada harga RM100,000. 
Barangan itu dilelong susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Hamidah yang juga bekas EXCO kanan Perak, membayar RM200,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berhubung satu kes saman malu.
Proses lelongan itu bermula pada jam 10.30 pagi bagi melelong 62 unit kelengkapan rumah dan tiga set kelengkapan bilik tidur yang terdapat dalam rumah Hamidah di Kampung Tersusun Batu Gajah di sini pada harga bidaan RM200,000.
Lelongan bermula pada jam 11 pagi dengan Pelelong Berlesen, Hasniza Abu Samah, mengumumkan bidaan pada harga lantai RM200,000 tetapi tiada sambutan walaupun diumumkan sebanyak tiga kali.
Beliau kemudian menurunkan harga kepada RM150,000 tetapi turut tidak mendapat sambutan walaupun diumumkan sebanyak tiga kali.
Selepas itu, harga diturunkan kepada RM100,000 sebelum seorang suri rumah, Fatimah Mohd Isa, 52, membuat bidaan tanpa ada saingan sesiapa.
Fatimah yang juga rakan karib Hamidah, berkata beliau membeli barangan rumah berkenaan kerana mahu membantu Hamidah yang diibaratkan sebagai pejuang sejak menjadi ahli politik.
"Tiada satu barangan di dalam rumah ini akan dibawa keluar dan saya membeli barangan ini kerana ingin membantu Hamidah," katanya yang ditemui selepas proses lelongan itu.
Sementara itu, Hamidah berkata, beliau reda dengan apa yang berlaku dan itu adalah proses mahkamah yang perlu diturutinya.
Pada 27 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel yang bertajuk 'Umat Islam Perlu Bersatu' di dalam blognya pada sekitar Januari 2010 di mana dalam artikel itu, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi.
BARANGAN di dalam rumah bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman (kiri) dilelong pagi ini selepas Mahkamah Tinggi Ipoh menyita barangan berkenaan pada 23 Disember lalu akibat gagal melunaskan bayaran ganti rugi sebanyak RM200,000 dalam satu kes saman fitnah membabitkan dirinya dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad

No comments:

Post a Comment