Wednesday, March 31, 2010

Musa Hassan Perlu Siasat Kes Altantuya Sepenuhnya




Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 29 Mac - Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menyokong penuh keputusan Ketua Polis Negara untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar-Baharu berhubung isu Altantuya Shaariibuu tetapi siasatan mestilah menyeluruh dan bukan berpilih-pilih.
Pada 24 Mac lalu Zulkifli Noordin mendakwa beliau ditawarkan ganjaran yang 'menggoyangkan' iman sekiranya bersetuju membuat akuan bersumpah bagi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu hampir empat tahun lalu.
Keesokan harinya  Tan Sri Musa Hassan dengan pantas berkata pihak polis akan mengambil keterangan Zulkifli berhubung pendedahan beliau tersebut.
"Saya bersetuju dengan tindakan Musa Hassan akan ambil untuk menyiasat kes tersebut tetapi dengan syarat siasatan menyeluruh perlu dilakukan dan bukan hanya tertumpu kepada kenyataan Zulkifli Noordin sahaja kerana ini akan menimbulkan banyak pertanyaan rakyat.
"Sebenarnya banyak isu yang perlu disiasat kerana sepanjang perbicaraan kes tersebut banyak bukti tidak disiasat sepenuhnya oleh pihak polis, seperti bukti gambar, kenyataan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang telah berjumpa dengan Datuk Nazim Razak.
"Siasatan juga perlu dilakukan dari awal tetapi saya tidak yakin  siasatan ini boleh dilakukan oleh pihak polis, negara perlukan penyiasat bebas jika inginkan siasatan yang telus," kata Sivarasa kepada Suara Keadilan di Parlimen hari ini.
Naib Presiden KEADILAN itu juga menyifatkan kes Altantuya telah menghancurkan institusi kehakiman negara kerana telah diperalatan oleh pihak tertentu.
"Negara berada dalam keadaan yang tidak baik, institusi yang sepatutnya dijaga kehormatannya tetapi telah diperalatkan oleh orang tertentu demi kepentingan peribadi.
"Tindakan memperalatkan insitusi kehakiman telah menjatuhkan imej negara di mata dunia yang merasakan ketidakstabilan negara berada pada tahap kritikal selain mengganggap isu keadilan negara ini bergantung kepada tangan seorang individu," tegas Sivarasa lagi.

No comments:

Post a Comment