KUALA LUMPUR, 30 Mac — Firma perunding komunikasi antarabangsa APCO Worldwide hari ini mengulangi kenyataan awalnya bahawa ia tidak bekerja dengan kerajaan Israel atau membantu mencipta konsep 1 Malaysia sebagaimana didakwa oleh Pemimpin Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dakwaan yang diulangi terhadap APCO Worldwide pagi ini di Parlimen Malaysia adalah tidak benar. APCO Worldwide tidak bekerja untuk kerajaan Israel. Kami tidak mereka konsep 1Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini.
Pada 18 Mac lepas, APCO Worldwide menafikan dakwaan sama Anwar itu.
Hari ini, Anwar pada sidang Dewan Rakyat menggesa kerajaan menarik balik kontraknya dengan APCO Worldwide dan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat firma itu, dengan mendakwa ia membawa risiko terhadap keselamatan nasional.
Anwar menimbulkan isu APCO itu ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat berikutan usul Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) supaya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa bahawa konsep 1 Malaysia ditiru dari slogan “Satu Israel” yang beliau kaitkan dengan APCO Worldwide.
APCO berkata, “Dalam tugas kami selaku perunding komunikasi, kami tidak terlibat dalam penggubalan dasar tetapi dalam penyediaan maklumat yang kerajaan ingin perkongsikan dengan orang awam.”
“Kami bekerja dengan kerajaan-kerajaan yang sedia mendapatkan nasihat kami mengenai ketelusan, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Kami rasa terhormat dapat terus bekerja dengan kerajaan Malaysia,” katanya.
Bernama
No comments:
Post a Comment