Empat ciri tersebut, kata beliau, adalah rajin menemui rakyat, mudah dihubungi, mampu menyelesaikan masalah rakyat dan tidak memungkiri janji.
Tegasnya, tanpa keempat-empat ciri tersebut adalah sukar seseorang wakil rakyat memberi khidmat terbaik kepada penduduk di kawasannya.
''Sebagai contoh, aktiviti berjumpa dengan rakyat atau lebih dikenali dengan turun ke padang. Program ini mudah dilakukan tetapi ada juga yang tidak dapat melaksanakannya dengan sepenuh hati.
''Selain itu, untuk menjadi wakil rakyat yang baik dan mudah didekati rakyat kita juga harus tahu apakah kehendak atau jangkaan rakyat kepada kita sebagai seorang pemimpin,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Malam Amal Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) di sini malam ini.
Turut hadir isteri beliau yang juga Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Naib Yang Dipertua Kasih, Prof. Datin Seri Aishah Salleh.
Kasih adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan untuk melaksanakan kerja-kerja berbentuk kebajikan khusus di Selangor.
Kasih dianggotai oleh isteri ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) .
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kesemua perkara yang disebutkan tadi merupakan kriteria penting yang perlu ada pada setiap wakil rakyat.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan kepentingan peranan isteri wakil rakyat dalam memberi sokongan kepada suami masing-masing dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin.
Perdana Menteri berkata, melalui peranan mereka sebagai pelengkap sudah tentu suami masing-masing dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh isteri wakil rakyat, katanya, adalah terlibat dengan kerja-kerja amal.
''Kasih adalah satu badan yang ditubuhkan untuk tujuan ini. Oleh itu kita sebagai suami harus reda sekiranya ketiadaan isteri kita di rumah kerana terlibat dengan kerja-kerja Kasih.
''Namun begitu jika ketiadaan mereka bukan sebab kerja-kerja Kasih, itu mereka perlu membuat permohonan lain," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh.
Najib turut menyentuh peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kasih untuk bersama-sama kerajaan melaksanakan Model Ekonomi Baru (MEB).
''Di dalam MEB kita akan melaksanakan sistem ekonomi bersifat inklusif dan saya kira NGO seperti Kasih boleh bersama-sama kerajaan menjayakan MEB.
''Kita tidak mahu satu kumpulan rakyat pun yang tertinggal. Maksud saya tidak ada mana-mana rakyat pun yang akan tersisih, tertinggal dan terpinggir. Semua orang tetap akan dapat manfaat terhadap pelaksanaan MEB," kata Najib.
Sementara itu Rosmah di dalam ucapannya berkata, Kasih akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja amal khususnya membantu golongan memerlukan di negeri Selangor.
Beliau berkata, Kasih perlu memainkan peranan itu bersungguh- sungguh supaya kewujudannya benar-benar memberi manfaat kepada golongan memerlukan antaranya golongan kurang upaya, warga tua dan ibu tunggal.
''Alhamdulillah pada malam ini kita berjaya mengumpul sebanyak RM2.8 juta iaitu hasil sumbangan dermawan. Wang ini akan kita salurkan kepada golongan yang dinyatakan tadi,'' katanya.
No comments:
Post a Comment