Thursday, April 22, 2010

Ibrahim, Saifuddin panaskan Dewan Rakyat



KUALA LUMPUR 21 April - Suasana hambar di Dewan Rakyat hari ini bertukar tegang apabila berlaku pertikaman lidah antara Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang).
Semuanya bermula apabila Ibrahim mencabar Saifuddin mengulangi tuduhannya di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa beliau mempunyai pegangan saham dalam syarikat judi Tan Sri Vincent Tan, untuk membuatnya secara terbuka di luar Dewan.
"Saya ingin buat kenyataan, media tolong tulis dan siarkan, saya cabar Machang buat tuduhan terbuka di Masjid Pasir Mas Jumaat ini saya akan tunggu, atau jika mahu saya ke Machang pun saya sanggup.
"Jika dia seorang anak jantan dan seorang pejuang kerana saya tahu dia bukan pemimpin tahi minyak," katanya.
Sebelum itu, Ibrahim meminta penjelasan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usulnya bagi merujuk Saifuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menuduhnya mempunyai pegangan saham dalam syarikat judi.
Saifuddin yang bangkit bagi menjawab cabaran itu berkata, kenyataan terbuka mengenai perkara itu telah dibuatnya beberapa minggu lalu di Pengkalan Chepa, Kelantan dan menyerahkan kepada Ibrahim untuk membuat tindakan lanjut.
Beliau kemudian menjelaskan mengenai perbahasan pada 23 Mac lalu itu yang menimbulkan perasaan tidak puas hati Ibrahim.
"Perkara yang saya bangkitkan ialah saya meminta penjelasan kerajaan kenapa meluluskan lesen judi kepada syarikat milik Vincent iaitu Ascort Sport pada 2004, kemudian saya lanjutkan ucapan selepas itu dengan menyebut bahawa Pasir Mas pun ada saham juga.
"Itu semakan hansard saya, keesokan harinya portal Malaysiakini melaporkannya dan merujuk saham itu dengan saham syarikat judi itu, itulah yang menaikkan kemarahan Pasir Mas. Saya tidak kata Pasir Mas ada saham dalam syarikat judi kerana sebelum ayat itu (Pasir Mas pun ada saham juga) ada noktah.
"Saham yang dimaksudkan itu bukan merujuk kepada syarikat judi tetapi Ibrahim memang mempunyai saham dalam syarikat lain yang dia sendiri akui kepada saya sebelum ini," katanya.
IBRAHIM: Tetapi Machang kaitkan saham itu dengan saham judi Vincent Tan.
MACHANG: Saya tidak kaitkan dengan Vincent Tan, jelas ada noktah sebelum ayat itu.
PASIR MAS: Ceh, inilah putar belit seorang jaguh yang kononnya dikatakan sebagai seorang pejuang Islam, saya memang ada saham dalam Mara dan ia dicairkan untuk diberikan kepada rakyat.
Saya mahu selesaikan di sini sahaja, sila jelaskan kerana saya dikaitkan dengan Ascot Sport. Jika tersilap cakap betulkan itu pun jika ada maruah, saya boleh terima. Jika tidak saya tidak akan maafkan sehingga kiamat.
Suasana tegang itu berjaya dikendurkan apabila Pandikar menegur sambil menjelaskan kewajarannya menolak usul yang dibawakan oleh Ibrahim itu.
"Setelah meneliti hansard saya mendapati Machang tidak menuduh Pasir Mas mempunyai saham dalam syarikat judi dan Pasir Mas juga jelas tidak mempunyai sebarang pegangan dalam mana-mana syarikat judi.
"Kepada media tolonglah bertanggungjawab jangan sesekali menyiarkan perkara yang boleh mengaibkan mereka yang tidak bersalah," katanya.
Ibrahim yang dilihat telah tenang kemudiannya bangun mencadangkan kepada Yang Dipertua untuk melakukan reformasi terhadap Parlimen.
"Saya hendak cadang, sudah sampai masanya Yang Dipertua membuat reformasi dan mengulangi apa yang saya minta sebelum ini supaya ahli Parlimen tidak lagi diberi imuniti supaya mereka lebih bertanggungjawab semasa mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.
habis

No comments:

Post a Comment