Thursday, April 22, 2010

Selesai masalah 'sardin dalam tin' segera


Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 21 April: Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian)
menggesa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap masalah
 sistem pengangkutan awam di negara ini yang berlarutan sejak
 sekian lama dan menjejaskan keselesaan rakyat.

Salahudin (gambar) sewaktu membahaskan Rang Undang-undang
 Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 di Dewan Rakyat hari ini
berkata, sistem pengangkutan awam di ibu kota khususnya transit
aliran ringan (LRT) yang menjadi tumpuan warga kota sentiasa
 mengalami kesesakan terutamanya pada waktu puncak.

"Isu di sini ialah LRT tidak kira Putra, Star, sama seperti sardin
dalam tin. Itulah hakikatnya terutamanya pada waktu puncak di
 mana kita melihat mereka yang menggunakan pengangkutan
 awam ini terdiri daripada mereka yang terdiri dari pegawai
 kerajaan, swasta dan sebagainya. Istilah sardin dalam tin
 ini sangat tepat," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Salahudin turut mempersoal sikap Kerajaan yang mewar-warkan
 hasrat menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan
 awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang masuk
 ke ibu kota tetapi tidak mencari jalan penyelesaian terhadap
masalah kesesakan pengangkutan awam ini.

"Dalam masa yang sama kerajaan menggalakkan supaya Kuala
Lumpur jadi seperti London dan Tokyo hyang mana kurangnya
 kereta yang memasuki kota.

"Kalau kita mahu Kuala Lumpur jadi seperti itu, kita mesti juga
 perlu beriltizam fikirkan satu sistem pengangkutan awam yang baik.

"Saya bertemu dengan pegawai Keretapi tanah Melayu (KTM),
mereka berkata gerabaknya tidak ditambah. Kalau tidak ditambah
 isu sardin dalam tin ini tidak akan selesai," katanya.

Salahudin turut menyelar sikap Kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh
untuk menaik taraf stesen bas Puduraya meskipun sejumlah peruntukan
 yang besar telah diumumkan untuk tujuan itu.

"Sebagai contoh baru-baru ini dua Perdana Menteri, pada 2004 dahulu
 sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri kemudian diambil alih oleh
Datuk Seri Najib, kedua-duanya membuat lawatan ke stesen bas Puduraya.

"Kita menyaksikan bahawa Puduraya adalah bangunan yang terlalu
ketinggalan zaman dan mengalami kesesakan dengan pencemaran
 alam sekitar dan kekurangan ruang untuk menempatkan bas.

"Baru-baru ini saya difahamkan warga Puduraya diarah berpindah
 dan kerajaan berjanji untuk memberikan geran lebih kurang RM60
 juta untuk mengubahsuai dan menaik taraf Puduraya tapi tidak jadi.
Ini adalah satu sikap Kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau menyeru Kerajaan agar tidak mengabaikan kepentingan
 rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Janganlah destinasi yang penting ini yang digunakan untuk manfaat
 rakyat berpendapatan sederhana dan rendah ini dipandang sambil lewa.
 Saya rasa masalah ini perlu diselesaikan samaada diberikan penempatan
baru yang lebih selesa atau menaik taraf.

"kerajaan perlu mengotakan janji dengan bersungguh-sungguh untuk
 membaiki keadaan di puduraya ini," katanya.

No comments:

Post a Comment