Tuesday, May 4, 2010

Siasatan lebih telus, adil





AzamudDin Omar (tengah) ditemani oleh wakil PIBG, Monalisa Mokhtar (kiri) menceritakan detik-detik kejadian yang membabitkan kematian Allahyarham Aminulrasyid Amzah pada sidang akhbar di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 3 Mei - Setelah lapan hari berlalu, ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah hari ini mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian pelajar berusia 15 tahun itu dengan lebih telus dan adil.
Bapa saudara Allahyarham, Kamarudin Hassan, 45, menegaskan, kematian arwah yang terkena tembakan anggota polis dalam satu kejadian berhampiran rumah mereka di Seksyen 11 pada awal pagi 26 April lalu perlu mendapat perhatian dan siasatan adil daripada pihak-pihak terlibat.
"Kami sekeluarga juga menolak penubuhan inkues yang dicadangkan oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, biarlah kes ini disiasat oleh pihak bebas.
"Sehubungan itu, kami mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi tujuan tersebut," katanya pada sidang akhbar di rumah keluarga Allahyarham di sini hari ini.
Turut hadir, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 60; kakak sulung, Nor Azura Amzah, 39; dua peguam mewakili keluarga, N. Surendran dan Latheefa Koya serta saksi utama kejadian yang turut berada bersama arwah ketika kejadian, Azamuddin Omar, 15.
Sementara itu, Surendran memberitahu, suruhanjaya itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelak keterangan yang telah diambil ketika ini hilang.
Beliau memberitahu, ahli keluarga Allahyarham tiada tempat untuk mengadu kecuali meminta suruhanjaya itu diwujudkan berikutan siasatan polis serta kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Azamuddin, 15, tiba di rumah keluarga arwah Aminulrasyid dengan ditemani wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Monaliza Mokhtar kira-kira pukul 3 petang.
Pada sidang akhbar itu, dia memberitahu, Aminulrasyid berada dalam keadaan takut hingga menyebabkan enggan memberhentikan kereta Proton Iswara yang mereka naiki ketika diarahkan berbuat demikian.
"Dia cakap hendak balik rumah terus kerana takut sebab itu kereta kakak dia," katanya.
Bagaimanapun, pemberita tidak dibenarkan bertanya banyak soalan dengan alasan Azamuddin masih berada dalam keadaan ketakutan dan sedang menjalani rawatan trauma.

No comments:

Post a Comment