Saturday, January 8, 2011

Pejabat ADUN Seri Muda disimbah cat merah

Utusan Malaysia Online - Jenayah



Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sri Muda disimbah dengan cat merah di Jalan Anggerik Vanila Kota Kemuning, semalam.


SHAH ALAM 7 Jan. - Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei disimbah cat merah dipercayai ada kaitan dengan kenyataan wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang dianggap menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi blognya, sebelum ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang kakitangan ADUN berkenaan, pukul 9.30 pagi ini.
Katanya, berdasarkan laporan, pintu hadapan pejabat ADUN itu di Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Seksyen 31, di sini telah disimbah cat merah.
Tambahnya, pintu belakang premis terbabit turut rosak dipercayai dibaling dengan objek keras yang disyaki batu.
"Kita sedang menjalankan siasatan sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan jenayah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Zahedi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.
Sementara itu, Mohamad Azmin Abdul Karin, 35, yang merupakan Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Muda berkata, dia menyedari kejadian tersebut semasa hendak memulakan tugasnya kira-kira pukul 7 pagi.
"Sebaik sahaja tiba di pejabat berkenaan yang terletak di tingkat dua, saya ternampak cat merah disimbah pada jeriji pintu hadapan premis itu.
"Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15," katanya.
Sebelum ini, Shuhaimi menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak ekoran kenyataan dalam laman blognya, http://srimuda.blogspot.com/ pada 30 Disember lalu yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Kenyataan itu dikeluarkan berhubung perkenan baginda melantik Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Dalam blog itu, Shuhaimi antara lain turut menyatakan pelantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Sehubungan itu, baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan dan bukannya berkecuali.
Malah, Shuhaimi menerusi kenyataan di dalam laman blog berkenaan seolah-olah turut memberi amaran kepada institusi beraja Selangor agar tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.
Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat tersebut turut menyatakan kononnya rakyat akan menolak sebarang tindakan 'beraja di mata, bersultan di hati' oleh mana-mana pihak bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja.

No comments:

Post a Comment