Saturday, January 8, 2011

Rumah warga emas terabai



BATU GAJAH – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib warga emas di Rumah Orang-orang Tua Islam Seri Payung, di sini, yang didakwa terabai oleh pihak yang menjaga kebajikan mereka. 

Mereka juga mendakwa segala makanan dan urusan kebajikan rumah itu seolah-olah tidak terurus selepas individu yang diupah jatuh sakit kerana terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. 

Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu Gajah, Ammar Rosdy berkata, hasil maklum balas daripada orang ramai, seorang warga emas yang diupah menyediakan makanan dan penjaga rumah itu tidak dapat menguruskan hal berkenaan setelah patah kaki kirinya. 

Menurutnya, penjaga rumah itu menyatakan telah beberapa kali membuat aduan mengenai keuzuran rumah orang tua dan perlu diperbaiki namun, tiada tindakan yang diambil. 

“Kejadian menjadi bertambah buruk apabila penjaga ini mengalami kemala�ngan� sehingga makan minum dan penjagaan penghuni di rumah ini terabai. 

“Menurut penjaga ini, rumah ini di bawah bidang kuasa pegawai daerah dan bantuan kewangan pula daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia mendakwa telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkenaan tetapi kedua-dua pihak menuding jari ke arah masing-masing dan akhirnya lepas tangan,” katanya kepada Sinar Harian selepas program gotong-royong di rumah berkenaan. 

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Gopeng, Ir Radzi Zainon berkata, pihaknya memohon agar perkara berkenaan diberi perhatian serius oleh pihak dan agensi berkaitan. 

Menurutnya, pihaknya bersangka baik dengan pihak JKM dan pejabat daerah, berkemungkinan mereka terlepas pandang akan masalah yang berlaku di rumah kebajikan berkenaan. 

"Kita akan membuat tindakan susulan bagi menyuarakan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab agar tindakan segera diambil. 

“Pihak Pas turut berusaha mencari pengganti individu untuk menyediakan dan menjaga makan minum warga emas di sini dan kita akan berusaha untuk mencari dana tambahan bagi menambahkan elaun penjagaan kepada tukang masak baru yang bakal dilantik,” katanya. 

Katanya, dalam satu mesyuarat dengan jawatankuasa rumah orang tua-tua itu, Pas Batu Gajah berusaha untuk kerap melawat dan mengadakan beberapa program gotong-royong bagi memastikan kebersihan serta keselesaan penghuni terjaga. 

“Pada hari ini, pihak pemuda Pas, Unit Amal Malaysia, Briged Muslimat dan Perak Care menganjurkan program gotong-royong menceriakan kawasan sekitar agar penghuni tidak gelisah dengan keadaan semak samun ini. 

“Selain itu, sumbangan yang sedikit ini akan menjadi pembuka jalan kepada individu dan badan bukan kerajaan tampil membantu dengan menghulur bantuan agar nasib warga emas di sini terbela,” katanya.

No comments:

Post a Comment