Wednesday, March 9, 2011

Kejutan waktu malam


MUSNAH...keadaan rumah yang runtuh akibat gempa bumi masih kelihatan di sepanjang jalan raya   Christchurch.
MUSNAH...keadaan rumah yang runtuh akibat gempa bumi masih kelihatan di sepanjang jalan raya Christchurch.


CHRISTCHURCH (New Zealand): Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia menyalurkan bantuan kepada pelajar dan rakyat Malaysia di sini berakhir semalam, namun di sebalik kejayaan itu, pengalaman merasai sendiri gegaran susulan gempa bumi mengejutkan delegasi sukarelawan itu.
Terkejut dengan gegaran sekuat 4.8 skala Richter malam Sabtu lalu menyebabkan ada di antara sukarelawan lari ke halaman motel Bella Vista di Bealey Avenue di sini, yang menjadi tempat tinggal sepanjang tempoh misi.

Gegaran dalam tempoh beberapa saat itu yang berlaku pada jam 7.30 malam waktu tempatan (kira-kira 2.30 petang waktu Malaysia) mengejutkan ramai pihak yang tidak pernah berdepan situasi itu.

Sejak hari pertama delegasi tiba iaitu pada 3 Mac lalu, berlaku puluhan siri gegaran kecil dan kebanyakannya hampir tidak disedari anggota kumpulan sukarelawan.

Bagaimanapun, gegaran Sabtu lalu paling dirasai kerana kebanyakan sukarelawan sedang berehat di bilik masing-masing.


Seorang pegawai perubatan yang menyertai delegasi itu, Dr S Thiru berkata, akibat terkejut dengan gegaran itu dia lari ke halaman motel tanpa sempat memakai kasut.

“Saya sebelum ini mempunyai pengalaman berdepan gegaran gempa bumi kerana pernah belajar di Aceh, Indonesia selain menyertai beberapa misi bencana alam ini di negara lain.

“Namun yang menakutkan saya malam itu ialah bunyi keretakan pada bangunan menyebabkan saya berlari berkaki ayam,” katanya.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau turut terkejut dengan gegaran itu.

“Ketika itu saya berada di bilik air sehingga menyebabkan saya kelam-kabut mahu menyelamatkan diri.


“Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku tetapi saya anggap kejadian itu menjadi antara pengalaman menarik,” katanya.


Walaupun berdepan situasi mengejutkan itu, Abdul Azeez berkata, beliau bersyukur dan gembira kerana misi kemanusiaan selama enam hari menyalurkan bantuan untuk pelajar dan rakyat Malaysia berjaya mengikut perancangan.

No comments:

Post a Comment