PARIT ABAS - Hampir 80 tahun hidup tanpa memiliki MyKad, impian seorang warga emas, akhirnya tercapai apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kawasan Parit Buntar menyerahkan MyKad baru.
Fatimah Saad, 90, lebih dikenali sebagai Mak Ngah terharu apabila pertama kali menatap wajahnya yang dicetak di MyKad .
Warga emas yang hidup sendirian selepas kematian suami lebih 20 tahun lalu, di sini sama sekali tidak menyangka masih diberi peluang untuk memiliki MyKad sendiri.
“Saya bersyukur kerana impian saya tercapai, terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu, sebagai orang susah, saya tidak akan berjaya miliki kad ini tanpa bantuan orang lain,” katanya ketika ditemui dalam majlis ringkas penyampaian MyKad di rumahnya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat.
Fatimah berkata, penduduk kampung banyak membantu kehidupannya yang serba daif.
Tanpa kemudahan air dan bekalan elektrik, warga emas ini hidup menggunakan sumber air dari parit berhampiran dan hanya bercahayakan lampu minyak tanah apabila gelap.
Kisah kepayahan hidup Mak Ngah pernah disiarkan Sinar Harian pada 13 Mac tahun lalu.
Keadaannya itu berjaya menarik perhatian JPN yang turun padang memantau keadaannya sebelum proses mengumpul maklumat dilakukan bagi memproses MyKad baru.
Seorang penduduk, Ismail Husin Ali, 52, berkata, dia pernah beberapa kali memujuk Mak Ngah menetap di rumah kebajikan orang tua memandangkan kehidupannya yang tidak terurus tetapi ditolak.
Menurutnya, dia bersama penduduk kampung yang simpati sentiasa membantu keperluan makanan dan minuman warga emas berkenaan.
“Rumahnya yang usang itu juga tidak lagi selamat untuk didiami, saya ada menghantar permohonan bantuan rumah dengan harapan Mak Ngah mendapat rumah yang lebih selesa,” katanya.
Ismail atau dikenali dengan panggilan Pak Tam berkata, selepas bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mak Ngah ditamatkan, penduduk kampung melancarkan kutipan derma setiap bulan untuk menyediakan kelengkapan termasuk makan minum.
“Hari ini (semalam) saya sendiri terharu dengan kelulusan MyKad yang diterima Mak Ngah, harap ini dapat membantu proses mendapatkan bantuan rumah dan bantuan bulanan kelak.
Proses semula, dokumen tak lengkap
Ketua Pejabat JPN Parit Buntar, Azimah Mohamad berkata, pihaknya terpaksa memproses semula permohonan kad pengenalan yang dibuat memandangkan terdapat beberapa dokumen yang tidak lengkap.
Menurut beliau, pihaknya terpaksa mengambil masa agak lama kerana kelulusan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.
“MyKad Mak Ngah akhirnya siap malah, sijil kelahirannya yang hilang sejak 80 tahun lalu juga diproses baru,” katanya.
Azimah berkata, dengan adanya MyKad itu, diharap dapat membantu urusan Mak Ngah terutama dalam proses mendapatkan bantuan kebajikan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat berkata, beliau akan membawa kes Mak Ngah ke mesyuarat kumpulan fokus (Focus Group) untuk diberi tindakan segera.
“Selepas ini kita harap pihak Baitulmal dapat mempercepatkan proses permohonan bantuan rumah yang dipohon bagi memberi lebih keselesaan kepada warga emas berkenaan menjalani rutin harian,” katanya.
Menurutnya, usaha keras semua pihak terutama JPN menunjukkan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kerian, Asmaliza Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada nama sama iaitu Fatimah Saad tetapi umur yang berbeza, 72, bukan 90 tahun.
Menurutnya, jika kes berkenaan adalah individu sama, pihak JKM memang telah menamatkan bantuan bulanan sebanyak RM135 yang diterima.
Bagaimanapun, kata beliau, bantuan berkenaan ditamatkan untuk diperbaharui dengan tambahan bantuan kepada RM300 sebulan.
“Ia tertangguh kerana ketika itu Fatimah tidak memiliki MyKad,” katanya.
No comments:
Post a Comment