Wednesday, March 9, 2011

PBB didesak kenakan sekatan penerbangan



CARI PERLINDUNGAN: Seorang pemberontak berlari mencari perlindungan semasa satu serangan udara oleh tentera Libya di Ras Lanuf, kelmarin. -- Foto REUTERS
PERGOLAKAN BERDARAH DI LIBYA
RAS LANUF (Libya): Britain dan Perancis kini menerajui usaha untuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan penerbangan di ruang udara Libya sedang pertempuran sengit terus berlaku di seluruh negara itu.
Sementara itu anak lelaki Encik Muammar Gaddafi memberi amaran kemungkinan meletusnya perang saudara jika bapanya didesak meletak jawatan.Rumah Putih pula sedang cuba meredakan tekanan daripada beberapa penggubal dasarnya supaya mencampur tangan secara langsung di Libya, sambil berkata ia terlebih dahulu mahu menimbangkan apa yang dapat dicapainya melalui beberapa pilihan tindakan tentera dalam negara gurun pasir yang kaya dengan minyak itu.Orang awam yang membantah kepimpinan Encik Gaddafi kini dikepung oleh tentera pemimpin Libya itu di dua bandar sebelah barat negara itu - di Misrata dan Zawiyah - manakala pesawat-pesawat perang Libya pula membedil bandar Ras Lanuf, yang kaya dengan minyak dan dikuasai pembantah, di sebelah timur negara tersebut.Dua akhbar Arab dan stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata Encik Gaddafi sedang mencari jalan mengadakan satu pakatan bagi membolehkan beliau meletak jawatan. Namun, rejim Encik Gaddafi semalam menafikan perkara itu.'Ia karut. Menyakitkan hati betul untuk mengulas mengenai perkara mengarut itu,' kata seorang pegawai pemerintah Libya atas syarat namanya tidak didedah.Encik Gaddafi telah berikrar di khalayak awam untuk terus berjuang dan tidak akan meninggalkan Libya.Salah seorang anak lelaki beliau, Encik Saadi, dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Arabiya, berkata bapanya masih belum mengerahkan askar-askarnya untuk menghadapi pertempuran sepenuhnya terhadap para pembantah, sambil berkata ia adalah untuk melindungi Libya daripada serangan luar asing dan untuk melindungi 'tapak-tapak sensitif' negara itu.'Puak-puak itu kesemuanya bersenjata, ada pasukan dari tentera Libya dan wilayah timurnya yang bersenjata. Suasananya tidak seperti Tunisia atau Mesir,' kata Encik Saadi.'Jika sesuatu berlaku ke atas pemimpinnya, siapakah yang akan menguasai? Satu perang saudara akan tercetus,' tegasnya.Semalam, tentera Encik Gaddafi melancarkan sekurang-kurangnya empat serangan udara ke atas bandar Ras Lanuf, dengan salah satu serangannya disasarkan ke arah sebuah kawasan perumahan, menurut seorang wartawan kanan agensi berita Reuters.Seorang penyelaras bantuan PBB, Cik Valerie Amos, berkata pertempuran yang berlaku di seluruh Libya bermakna lebih sejuta orang pelarian atau mereka yang masih berada dalam negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan. -- Reuters, AFP.

No comments:

Post a Comment