Monday, April 18, 2011

Dua beranak kongsi derita



KUANTAN – Penyakit saraf yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu menyebabkan Mizam Abdul Aziz, 50, tidak mampu menguruskan rumah tangganya apatah lagi mahu menjaga anak bongsunya, Intan Azizah Halimah Maimunah, 8, yang mengidap penyakit jantung kronik.

Menurut ibu kepada lima orang anak ini, Intan disahkan mengidap penyakit jantung sejak lahir dan perlu menjalani beberapa pembedahan.

“Kini, anak saya ditempatkan di Unit Rawatan Progresif (PCU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan koma sejak Rabu lepas (13 April). Saya sendiri tidak berpeluang untuk melawatnya kerana keadaan tidak mengizinkan.

“Suami dan anak-anaklah yang berulang-alik ke hospital untuk menjaga Intan. Jika saya mampu bergerak jauh, saya mahu berada di sisi anak bongsu saya sepanjang masa. Kasihan dia, kecil lagi sudah menanggung derita,” katanya yang ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Chang Hong Seong bersama Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tengah/ Kampung Jawa, semalam.

Pada lawatan tersebut, Mizam merupakan salah seorang daripada lima keluarga yang menerima sumbangan wang daripada ADUN Teruntum serta Ahli JKKK Kampung Tengah/ Kampung Jawa.

Kata Mizam, sumbangan yang diterima secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban keluarga.

“Sebelum ini, saya memang tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak meskipun saya telah didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

“Anak kedua saya juga baru mula bekerja tidak sampai sebulan mengalami kemalangan yang menyebabkan kakinya patah. Kini, dialah yang menjaga saya di rumah jika adik-adik lain bersekolah,” katanya.

Anak keduanya, Iqlima Mohd Zambri, 19, berkata, meskipun mengalami kecederaan sewaktu ditimpa kemalangan, namun itu tidak menghalangnya untuk membantu ibunya menguruskan kerja-kerja rumah.

“Saya akan cuba membantu selagi termampu. Sebagai seorang anak, jika ibu dan ayah susah, kita tidak seharusnya menambah beban mereka lagi. Sebaliknya, kita perlu berusaha untuk membantu mereka.

“Walaupun masih muda, tetapi saya sedar tanggungjawab kepada keluarga tidak harus diabaikan. Buat sementara waktu ini, biarlah saya duduk di rumah menjaga ibu,” katanya.

Prihatin melihat nasib menimpa keluarga ini, Hong Seong akan cuba mendapatkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Mizam selewat-lewatnya minggu depan.

“Saya juga akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk datang melawat keluarga ini sekali gus memberi bantuan bulanan kepada mereka. Sepatutnya Mizam layak menerima bantuan JKM kerana dia mempunyai kad OKU,” katanya.

No comments:

Post a Comment