KUALA TERENGGANU – Konflik rumah tangga antara suami isteri sudah tidak menjadi rahsia antara pasangan apabila perkara itu dibincangkan secara umum melalui laman sosial ‘facebook’.
Perunding Motivasi dan Kaunselor berdaftar, Hushim Salleh mengakui, pendedahan secara terbuka itu membimbangkan walaupun ia sepatutnya menjadi kerahsiaan dan tidak patut diketahui orang lain.
Menurutnya, keadaan itu bertambah parah apabila krisis yang sepatutnya boleh dileraikan dengan cara baik akan mendorong kedua-duanya bertindak menamatkan hubungan masing-masing dengan perceraian.
“Sepanjang Januari hingga awal April lalu, kira-kira 15 hingga 20 peratus suami atau isteri yang berjumpa dengan saya kerana masalah perkahwinan telah menggunakan ‘facebook’ untuk meluahkan perasaan masing-masing.
“Penggunaan facebook bagi tu-juan itu bertambah mendadak berbanding tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi selepas Seminar Keunggulan Keluarga (Pengurusan Stress dan Konflik dalam Rumahtangga) di Dewan Auditorium di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Kompleks Seri Iman, semalam.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama JHEAT, Rozali Salleh turut hadir merasmikan seminar tersebut selain Ketua Penolong Pesuruhjaya (Undang-Undang Keluarga), Ismail Abdul Ghani. Kata Husim, perkara itu berlaku disebabkan pasangan tersebut tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga kerahsiaan rumahtangga.
Katanya, kerahsiaan itu perlu dipelihara dan jauh sekali membincangkan secara terbuka di facebook.
“Penyelesaian terbaik adalah menggunakan kaedah bersemuka dengan pasangan masing-masing dengan mengkaji punca wujudnya konflik,” katanya.
Beliau menjelaskan, kaedah tersebut lebih berkesan kerana ia merangkumi komunikasi dan pandangan antara dua pihak, pandangan mata, luahan dari hati dan belaian kasih sayang.
Sebaliknya, keadaan itu amat berbeza dengan kaedah facebook yang boleh mengeruhkan lagi hubungan antara pasangan terlibat.
“Apabila mereka tulis melalui facebook, mungkin rakan akan mengulas sesuatu yang boleh mendatangkan kemarahan pada pasangan dan ini akan memberi kemudaratan kepada hubungan itu.
“Menggunakan facebook umpama meminta nasihat daripada mesin, ada perasaankah mesin itu, ada kerohaniankah, ada emosikah? Jadi, suami isteri perlu elak facebook dan jangan orang tahu kerahsiaan suami isteri,” katanya.
No comments:
Post a Comment