Wednesday, April 27, 2011

Mula ikut ceramah JI, akhirnya ke Guantanamo



pix_gal0


WikiLeaks dedah dua warga Malaysia didakwa pengganas 

KUALA LUMPUR: Laman web WikiLeaks yang membocorkan banyak dokumen rahsia kerajaan Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu mendedahkan butiran terperinci mengenai tahanan Kem Guantanamo, di Cuba termasuk dua warga Malaysia yang ditahan sejak 2003 kerana disyaki terbabit kegiatan pengganas dan menganggotai kumpulan militan terbesar Asia Tenggara, Jemaah Islamiah (JI).
Kedua-dua warga Malaysia itu, termasuk seorang daripadanya yang mempunyai latar belakang ketenteraan didakwa oleh AS mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Al-Qaeda yang dibiayai individu paling dikehendaki, Osama Bin Laden.
Menurut dokumen yang mendedahkan sebahagian daripada 779 fail sulit mengenai pusat tahanan itu, dua individu terbabit dikenali sebagai Mohamed Nazir Lep, 35, berasal dari Johor dan Mohd Farik Amin, 36, dari Kajang, Selangor. 

Antara lain, dokumen itu menyebut Mohamed Nazir yang turut menggunakan identiti sebagai Bashir Lap, Lilie dan Suicide Ali, ditahan di Thailand, manakala Mohd Farik atau dikenali sebagai Abu Ahmed dan Yazid Zubair ditahan di Kemboja sebelum dipindahkan ke kem berkenaan pada 4 September 2006. 

Melalui dokumen sama, maklumat perisikan AS tidak menolak kemungkinan kedua-duanya adalah penyerang berani mati yang merancang merampas pesawat komersial bagi melakukan serangan mirip tragedi 11 September di negara itu. 

Dokumen itu turut mendedahkan butiran terperinci soal siasat terhadap Mohamed Nazir yang mengaku direkrut bersama Mohd Farik di sebuah masjid di ibu negara selepas mengikuti ceramah oleh salah seorang pemimpin kanan JI, Riduan Isomuddin. 
Mereka dilaporkan berkenalan ketika bekerja di sebuah firma arkitek dan dari situ mula berminat menyertai perjuangan jihad sebelum bersetuju mengikuti latihan ketenteraan di Afghanistan selepas menemui Riduan di Bentong, Pahang. 

Berikutan itu, kedua-duanya ke Karachi, Pakistan dan setibanya di sana, mereka dibawa ke sebuah pangsapuri di bandar berkenaan sebelum ke Quetta, Afghanistan dan menginap di sebuah rumah atau klinik dipercayai milik Taliban. 

Dalam soal siasat, Mohamed Nazir dan Mohd Farik memberitahu mereka mengikuti latihan termasuk pengendalian senjata anti pesawat, anti kereta kebal dan pemasangan periuk api selama lapan minggu di Kem Al-Faruq di Kandahar, Afghanistan, bermula Julai hingga September 2000. 

Dokumen sulit itu turut menyatakan mereka pernah didedahkan terhadap beberapa kegiatan keganasan di Afghanistan selain mempunyai ramai kenalan dalam Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM). 

Mereka juga dianggap oleh perisik AS sebagai tahanan bernilai tinggi (HVD) yang mempunyai banyak potensi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan plot keganasan lain di seluruh dunia. 

Berita Harian sebelum ini pernah melaporkan kedua-dua tahanan terbabit belum didakwa dan Kerajaan Malaysia mengulangi permohonan kepada pentadbiran AS supaya Mohd Farik dan Mohamed Nazir dihantar pulang untuk didakwa di negara ini. 

Presiden AS, Barack Obama sebelum ini dilaporkan pernah menyatakan kesediaan mempertimbangkan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk membenarkan dua tahanan itu diserah kepada Malaysia serta menjalani hukuman di negara ini. 

No comments:

Post a Comment