Wednesday, April 27, 2011

Tambak setinggi bumbung


PENDUDUK menunjukkan  tanah yang ditambak setinggi bumbung rumah di Taman Medang, Mahsan, Bahau.
PENDUDUK menunjukkan tanah yang ditambak setinggi bumbung rumah di Taman Medang, Mahsan, Bahau.



Penduduk rasa terhimpit, khuatir banjir kilat berulang 

BAHAU: Tindakan tidak bertanggungjawab pemaju perumahan melakukan projek menambak tanah untuk projek perumahan baru di Taman Medang, Mahsan di sini, menyebabkan keselamatan penduduk di situ di ambang bahaya.
Penduduk meradang kerana tambakan itu melebihi paras bumbung rumah dan mereka juga diancam banjir lumpur setiap kali hujan lebat berikutan tanah merah yang ditambak tinggi itu mengalir ke bawah.
Bagi Tey Huat Keong, 37, usahanya menabung bertahun-tahun hingga berjaya membeli rumah impiannya di taman berkenaan, ibarat mencurah air ke daun keladi, selepas projek menambak tanah bersebelahan rumahnya itu melebihi paras bumbung. 

Pengusaha bengkel kenderaan itu membeli rumah berharga RM260,000 pertengahan tahun lalu dan mahu membuat pengubahsuaian sebelum menetap di situ. 

Bagaimanapun, dua minggu lalu, Tey terkejut apabila melihat kehadiran jengkaut menambak tanah di sebelah rumah hingga melebihi paras bumbung dan kemudian diberitahu pekerja terbabit bahawa beberapa rumah baru akan dibina di tanah tambak itu. 

"Bagaimana rumah boleh dibina di tapak yang lebih tinggi daripada bumbung rumah saya," katanya. 
Tey mengakui tawar hati tinggal di rumah itu kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga kerana kedudukan rumah bersebelahan apabila siap akan menjadi terlalu tinggi dan tiada jaminan keadaan tanah kukuh dalam jangka panjang. 

"Jika mahu jual pun, tidak ada orang ingin membeli kerana tiada siapa mahu rumah bergelap dilindungi rumah sebelah," katanya. 

Guru, Mohd Azmi Che Awang, 40, berkata tambakan tanah itu menutup bahagian tepi rumahnya walaupun tidak setinggi bumbung. 

Katanya, tanah asal bersebelahan rumahnya tidak tinggi, tetapi kemudian ditambak tiga kali lebih tinggi hingga melebihi pagar rumahnya. 

"Saya terpaksa membersihkan halaman rumah akibat dikotori tanah yang jatuh dan lebih membimbangkan apabila hujan, banjir kilat boleh berlaku dan memberi kesan buruk kepada penduduk di sini," katanya. 

How Peng Chuan, 40, turut marah kerana kawasan projek itu yang asalnya hutan, ditebang hingga membahayakan rumahnya di bawah bukit. 

Katanya, pemaju tidak membina penahan tebing bukit menyebabkan rumah di bawah bukit terdedah kepada tanah runtuh dan banjir kilat. 

"Tahun lalu, banjir kilat melanda kawasan taman perumahan berhampiran. Kami tidak mahu pengalaman pahit itu berulang kerana walaupun pampasan diberi, jumlah itu tidak setimpal dengan kesusahan dan kerosakan yang penduduk alami,” katanya. 

Beliau berkata, pemaju juga membina jalan ke projek itu di depan rumahnya yang sepatutnya jalan mati dan ini mengganggu ketenteraman penghuni rumah di situ, selain membahayakan kanak-kanak yang bermain di padang permainan berhampiran. 

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, penduduk bersepakat menghantar memorandum bantahan kepada Majlis Daerah Jempol (MDJL) terhadap pelaksanaan projek itu, terutama berkaitan penambakan tanah hingga melebihi paras bumbung rumah bersebelahan. 

Katanya, MDJL perlu memantau pelaksanaan projek perumahan dan tidak mudah meluluskan sesuatu projek tanpa mengambil kira keselamatan dan ketenteraman penduduk taman perumahan bersebelahan. 

No comments:

Post a Comment