Malah pelajar yang direkrut di maahad atau pusat pembelajaran agama Islam itu dipercayai dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Filipina.
Kegiatan itu dikesan beroperasi selepas maahad tersebut dipercayai dijadikan lokasi mesyuarat antara Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar bagi menubuhkan JI selepas berlaku krisis kepimpinan Darul Islam, Anjengan Masduki.
Menurut sumber risikan anti keganasan, hasil kerjasama bersama pengendali maahad itu antara 1985 dan 2000, kumpulan militan yang menjadikan negara ini sebagai transit merekrut kira-kira 100 rakyat tempatan dan Indonesia sebelum dihantar menjalani latihan ketenteraan di kem Al-Qaeda di Afghanistan dan kem Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina.
Fahaman ekstrem Salafiah Jihadiah dikatakan merupakan pegangan utama kumpulan Al-Qaeda, JI serta para pengikutnya.
"Maahad itu sehingga kini dipercayai masih aktif digunakan untuk menyebarkan fahaman tersebut kepada kaum muda. Terdapat beberapa tokoh fahaman ini sama ada di luar atau dalam negeri giat menyampaikan ceramah di maahad tersebut.
"Akhir tahun lalu, tiga pelajar maahad berkenaan ditahan oleh pihak berkuasa kerana menunaikan sembahyang Jumaat berasingan atas alasan masjid-masjid lain mengamalkan bidaah," kata sumber itu ketika ditemui di sini.
Menurut sumber itu lagi, antara ciri fahaman Salafiah Jihadiah adalah mendakwa mereka ahli Sunnah sebenar, menolak Ijmak dan Qias, mendakwa perayaan Maulidur Rasul adalah haram serta menganggap orang Islam yang tidak mengikut mereka adalah bidaah dan sesat, terkeluar daripada Islam dan wajib diperangi.
"Fahaman ini giat disebarkan di kalangan penuntut universiti, profesional dan masyarakat umum. Sekiranya tidak dibendung, akan mendorong lebih ramai umat Islam terutamanya belia terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan dan melancarkan serangan ganas.
"Satu lagi yang bahaya fahaman ini adalah mereka menolak sistem demokrasi dan pilihan raya kerana mereka menganggap kaedah jihad perang adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk menubuhkan negara Islam," katanya lagi.
Difahamkan pada April 1985, Abu Bakar, Abdullah Sungkar, Mohd. Iqbal Abdul Rahman, Hambali dan 16 anggota kanan kumpulan Darul Islam dari Solo, Jawa Tengah melarikan diri ke Malaysia selepas pemerintahan Presiden Suharto melancarkan operasi besar-besaran untuk membanteras ancaman kumpulan Darul Islam di Indonesia.
"Mereka menaiki bot dari Tanjung Balai Indonesia dan mendarat di Pelabuhan Klang, Selangor. Setibanya di negara ini, mereka dikatakan terus berlindung di maahad tersebut," katanya.
Mahkamah Indonesia pada 16 Jun lepas menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Abu Bakar setelah didapati bersalah membiayai kumpulan pengganas di republik itu.
No comments:
Post a Comment