Sunday, June 19, 2011

Perebutan wilayah maritim



Gambar fail bertarikh 19 April 2010 ini menunjukkan anggota tentera laut Vietnam melambai kepada pelancong di pulau Spratly atau dikenali sebagai Truong Sa yang turut dituntut oleh Vietnam. – AGENSI


WASHINGTON 18 Jun – Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam semalam meminta supaya Laut China Selatan dijadikan kawasan bebas belayar dan menolak penggunaan tentera di perairan itu, ketika ketegangan antara China dan beberapa negara jirannya meningkat berikutan perebutan wilayah.
Selepas mengadakan rundingan di Washington, kedua-dua negara itu menyatakan ‘keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan berlayar di Laut China Selatan adalah perkara paling penting yang dimahukan masyarakat antarabangsa.
“Pertikaian wilayah di perairan itu perlu diselesaikan melalui kerjasama dan proses diplomatik tanpa penggunaan tentera,” kata kedua-dua negara itu dalam satu kenyataan bersama semalam.
Menerusi kenyataan itu, AS dan Vietnam turut menyokong rundingan diadakan mengikut perjanjian 2002 antara China dan 10 negara ASEAN, di mana kedua-dua pihak bersetuju mengikuti peraturan yang ditetapkan di Laut China Selatan.
Pertikaian di kawasan itu semakin meningkat beberapa minggu ini dengan Vietnam mengadakan latihan peluru hidup selepas menuduh kapal China mengganggu sebuah kapal pemantau minyak mereka dan memotong kabel cari gali minyak sebuah lagi kapal negara itu.
China dalam pada itu turut melancarkan latihan tentera selama tiga hari di Laut China Selatan yang disifatkan media sebagai memperkukuh rondaan agensi pengawasan maritim negara itu.
Sementara itu, Filipina hari ini berkata, 15 blok minyak di Laut China Selatan yang bakal ditawarkan kepada syarikat cari gali minyak antarabangsa akhir bulan ini terletak dalam wilayahnya.
Menurut peta yang dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009, dua daripada 15 blok itu terletak dalam kawasan yang turut dituntut oleh China. – AFP/AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment