SEOUL: Tentera Korea Selatan menembak pesawat penumpang dari China yang membawa 119 orang termasuk penumpang dan kru kabin selepas menyangka ia adalah pesawat tentera Korea Utara, kata pegawai penerbangan dan tentera, semalam.
Kejadian itu berlaku hampir dengan kawasan perairan di mana ketegangan tercetus antara kedua-dua negara. Anggota tentera yang berkawal di pos kawalan di Pulau Gyodong di barat perairan Korea Selatan menembak dengan raifal K-2 ke arah pesawat yang terbang rendah sebaik menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul. Gyodong terletak kira-kira 1.7 kilometer di selatan perairan Korea Utara.
Pesawat itu terbang di tenggara melintasi Pulau Jumun iaitu 12 kilometer di selatan Gyodong menuju ke Incheon. “Tembakan berterusan kira-kira 10 minit tetapi pesawat berada jauh dari jarak sasaran raifal dan tidak mengalami sebarang kerosakan,” lapor agensi berita Yonhap sebagai memetik kenyataan pegawai tentera laut.
Apabila pesawat terbang di Pulau Jumun, tentera menyangka ia adalah pesawat tentera Korea Utara dan terus melepaskan tembakan,” tambahnya. Jurucakap angkatan tentera laut memberitahu laporan itu benar tetapi enggan mengulas lanjut. Menurut petugas kawalan penerbangan, penerbangan Asiana dari China yang membawa 119 orang termasuk kru kabin dan penumpang mengikut jadual perjalanan biasa. - AFP
No comments:
Post a Comment