Monday, August 15, 2011

Dua Tahun Dibiayai Gereja – Pengakuan Bekas Paderi Melayu

SEREMBAN: “Jauh di sudut hati, saya tahu masih Islam, namun keadaan memaksa saya membawa keluarga ke rumah perlindungan itu sebelum dibaptiskan dan dilatih menjadi paderi Melayu,” kata bekas penagih hanya mahu dikenali sebagai Mohamad yang pernah dikristiankan, namun insaf selepas diselamatkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Beliau yang kini berusia 38 tahun tinggal dua tahun bersama isteri dan tiga anak berusia satu hingga 13 tahun di rumah perlindungan Kristian di negeri ini, ketika hidupnya kucar-kacir selepas dibebaskan dari penjara kerana kesalahan dadah.

Mohamad mendakwa terpaksa membawa keluarga lari dari kampung di Perak kerana bekas sahabat yang bertugas dengan pasukan keselamatan menganiayai isterinya ketika di penjara dan selepas dia dibebaskan.


“Ketika bergelut dengan ketagihan, tidak diterima masyarakat, tiada kerja dan terdesak membawa isteri jauh dari tempat itu, kami terpaksa menerima tawaran rumah perlindungan itu,” katanya di sini semalam.

Mohamad yang diberi nama Kristian di rumah itu berkata, dia berjaya mengatasi ketagihan selepas empat bulan dengan bantuan kaunseling dan rawatan kerohanian oleh paderi.

Katanya, mereka dipisahkan daripada kehidupan luar dengan rutin harian hanya membantu menguruskan rumah berkenaan dan waktu selebihnya digunakan mengkaji kitab Kristian.

Dia mendakwa diberi elaun tetap RM500 sebulan, manakala isterinya (RM300) dan anaknya berusia 13 tahun yang juga pelajar kitab Injil terbaik di rumah perlindungan itu (RM100).

Katanya, kehidupan keluarganya disusun seperti orang Kristian alim dan dilarang mengambil minuman keras serta melakukan perkara dianggap berdosa dalam agama itu.

Dia berkata, walaupun hati kecilnya masih mengingati Allah, keadaan hidup yang disogokkan dengan ajaran Kristian sepanjang masa akhirnya memesongkan akidahnya sebelum menyerahkan diri menjadi murtad.

“Saya sering memberontak kerana tidak mahu terus murtad sebelum melarikan diri dan berjanji kepada anak isteri untuk membawa mereka keluar.

“Selepas itu ekoran tekanan, saya kembali menagih sebelum menyerah diri kepada polis. Ketika di penjara, saya meminta tolong selamatkan akidah saya dan keluarga,” katanya.

Februari lalu Jabatan Mufti Negeri Sembilan berunding dengan pengurusan rumah perlindungan itu sebelum Mohamad dan keluarga dibantu untuk memulakan hidup sebagai Muslim – Berita Harian

No comments:

Post a Comment